Wednesday, May 23, 2012

Koleksi baru Tomei

Kilauan emas jarang mengecewakan dalam melengkapkan penampilan wanita. Logam kuning berharga ini bukan sekadar jadi hiasan bahkan menjadi pelaburan menguntungkan sejak zaman berzaman.

Barisan model menggayakan koleksi Ana-stasia.

Justeru bukan sesuatu yang luar biasa jika hiasan emas kekal mendominasi dalam pasaran aksesori wanita apatah lagi apabila ia sentiasa mendapat sentuhan baru dari segi konsep dan rekaan.

Terbaru jauhari emas terkenal, Tomei, melancarkan koleksi rekaan hiasan emas musim bunga/panas yang turut ditampilkan bertepatan dengan sambutan Hari Ibu.

Pengurus Kanan Pemasaran Tomei Consolidated Berhad, Christine Lim berkata, tahun ini pihaknya telah mencipta satu koleksi terbaru yang diberi nama Ana-stasia bagi menambah rekaan-rekaan yang sedia ada.

Katanya, kemunculan Ana-stasia adalah kesinambungan daripada kejayaan Tomei menghasilkan dua koleksi mewah terdahulu Exotic Allure dan Eternel Binding .

"Kesemua koleksi ini adalah hasil rekaan dan kreativiti tukang-tukang emas kami," katanya pada majlis pelancaran sulung koleki Ana-stasia, di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Christine, Ana-stasia koleksi emas 916 yang menampilkan pelbagai bentuk rekaan yang menarik dan versatil.

Ia meliputi set lengkap rantai leher dan gelang tangan, anting-anting, cincin dan sebagainya yang setiap satu terdapat logo Tomei sebagai tanda dagang eksklusif.

Beliau menambah, antara ciri menarik koleksi ini ialah konsep suai padan seperti padanan rantai panjang dengan pakaian ke pejabat atau juga dengan dres labuh dan kebaya.

"Rekaan yang menonjol dan glamor ini boleh digayakan secara konvensional dengan padanan pakaian tradisional mahupun dengan gaya moden dan trendy.

"Apa yang pasti koleksi Ana-stasia disasarkan kepada semua golongan wanita daripada usia 16 tahun ke atas.

"Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan pada harga bermula serendah RM600 bergantung kepada harga emas pasaran dan juga rekaannya," katanya.

Pada majlis pelancaran yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Ng Yih Pyng, sebanyak enam koleksi Ana-stasia dipamerkan buat pertama kali kepada orang ramai.

Digayakan oleh barisan model-model jelita, pelancaran bersejarah itu turut diserikan dengan penampilan istimewa Ratu Cantik Chinese Cosmos 2004, Natalie Chiaw dan Ratu Cantik Chinese Cosmos Asia Tenggara 2011, Carrie Lee.

Turut ditampilkan koleksi barangan emas putih, berlian, emas juga termasuk jenama antarabangsa iaitu Batar Gold dan Prima Gold.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Feminin&pg=fe_04.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...