Thursday, October 20, 2011

Tali Kasut Emas Jenama 'Mr. Kennedy' Berharga RM 59,000

Pereka Colin Hart yang memulakan jenama 'Mr Kennedy' telah menghasilkan hanya sepuluh pasang tali kasut jahitan sendiri menggunakan benang emas. Setiap tali kasut ini memerlukan 120 jam siap dijahit.


Setakat ini, satu pasang telah dijual dengan harga RM59,000 hanya untuk tali kasut. Harga ini termasuk kos penghantaran sekali dengan hujung tali kasut yang emas untuk memudahkan ianya digunakan pada semua kasut.


Selain itu, syarikat ini juga menghasilkan tali kasut perak dengan harga RM6,500 sahaja untuk sepasang.



SUMBER - http://akustressgiler.blogspot.com/2011/10/omg-tali-kasut-emas-jenama-mr-kennedy.html

Tuesday, October 4, 2011

Soalan Popular Mengenai Jual Beli Emas

Isu pelaburan emas kini menjadi isu hangat yang sering diperdebatkan oleh pelbagai individu.

Dalam artikel kali ini, Tuan Suzardi Maulan (Pak Di), iaitu penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang akan menjawab 7 soalan popular berkenaan pelaburan emas. Semoga ia bermanfaat untuk para pembaca.



Saya kumpulkan 7 soal-jawab yang sering ditanya mengenai pelaburan emas:

#1 – Bolehkah saya membeli emas dengan membuat pembiayaan dari bank? Bukankah membeli emas secara berhutang adalah dilarang dalam Islam?

Islam melarang jual beli emas secara hutang hanya dalam transaksi tersebut sahaja. Contohnya;,

Tuan membeli 10g emas hari ini dan pembayaran hanya dibuat 30 hari kemudian. Atau, tuan membayar RM 1,500 hari ini dan hanya menerima emas tanpa sebarang bukti atau resit pembelian 3 minggu selepas itu.

Manakala membuat pembiayaan bank untuk membeli emas pula adalah dibenarkan. Dalam situasi tersebut, tuan berhutang dengan bank dan bukannya penjual emas. Apa yang penting selepas mendapat duit dari bank, pembelian emas dibuat secara tunai.

Sekiranya tuan meminjam dari bank, maka pastikan tuan hanya membuat pembiayaan peribadi dari bank-bank Islam sahaja. Jika tuan membuat pinjaman dari bank konvensional maka tuan masih terlibat dengan riba.

Dalam erti kata lain, proses pembiayaan bank adalah transaksi A. Manakala, membeli emas pula adalah transaksi B. Maka, pastikan transaksi B berlaku secara tunai.


2. Apakah hukum membeli emas pada harga yang rendah kemudian dijual semula dengan harga tinggi untuk mendapatkan keuntungan? Misalnya, membeli emas pada RM 150/g dan menjual semula pada RM 180/g. Adakah ini perbuatan riba?

Itulah yang dikatakan jual beli yang difahami oleh tuan semua. Secara umumnya Islam tidak melarang jual beli. Apa yang mesti tuan fahami adalah jual beli tersebut mesti berlaku secara tunai.

Hanya jual beli emas yang tidak berlaku secara tunai adalah riba.


#3 – Bank mana yang menawarkan akaun pelaburan emas patuh Shariah?

Akaun pelaburan emas diperkenalkan oleh bank-bank. Bank-bank Islam mahupun bank-bank konvensional tidak mahu terlepas untuk membuat untung dari kenaikan mendadak harga emas yang berlaku.

Keunikan akaun pelaburan emas di bank adalah tuan tidak perlu menyimpan emas secara fizikal. Walaupun begitu, masih ada kos yang perlu tuan perhalusi, dan ini berbeza dari satu bank ke satu bank yang lain.

Sehingga artikel ini ditulis, hanya akaun pelaburan emas yang ditawarkan oleh Kuwait Finance House (KFH) dan al-Rajhi Bank yang dapat disahkan akaun pelaburan emas yang halal.


#4 – Bagaimana dengan peluang pelaburan emas yang memberikan dividen?

Pelaburan emas tidak memberikan dividen. Sekiranya tuan ditawarkan dengan pelaburan emas yang menawarkan dividen bulanan, suku tahunan atau tahunan maka sila berhati-hati.

Jangan terlibat dalam skim pelaburan emas yang meragukan sebegitu kerana khuatir ia adalah skim cepat kaya yang mahu menipu orang ramai.


#5 – Apakah perbuatan membeli emas, gadai dengan syarikat ar-Rahnu, beli emas lagi, gadai lagi dan seterusnya dibenarkan dalam Islam?

Strategi berkenaan dari sudut hukum tidak ada larangan yang mengharamkannya. Apa yang penting pembelian dibuat secara tunai dan gadaian dibuat dalam syarikat-syarikat yang mengamalkan skim pajak gadai Islam.

Walaupun begitu, tuan mesti sentiasa berhati-hati apabila mahu menggunakan strategi sebegini kerana harga emas ada turun naiknya.

Selagi mana harga emas sentiasa naik maka tiada masalah, tetapi jika berlaku kejatuhan harga emas yang teruk tuan pasti berhadapan dengan masalah yang besar.


#6 – Bagaimana mahu membuat pembelian emas fizikal secara online?

Pembelian emas secara online dapat dibuat selagi mana ia dibuat secara tunai. Andaikan tuan membeli emas seberat 10g bernilai RM 1,500, maka selepas sahaja tuan membayar jumlah penuh kepada penjual, maka penjual mesti memberikan resit yang dapat tuan gunakan untuk menuntut emas tersebut.

Tujuan resit adalah untuk memenuhi syarat qabadh (possession) yang menjadi syarat wajib jual beli emas. Qabadh hakiki (actual possession) berlaku apabila selepas tuan membayar, tuan memperoleh emas tersebut.

Qabadh hukmi (constructive possession) pula berlaku apabila selepas tuan membuat pembayaran, tuan menerima resit yang menunjukkan emas itu ada, dan tuan dapat menuntut emas tersebut pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan daripada pihak penjual.


#7 – Bolehkah saya membuat locking harga?

Harga pasaran emas menjadi rujukan penjual dan pembeli adalah cuma satu penanda aras sahaja. Sekiranya tuan bersetuju menjadikan harga tersebut sebagai harga jual beli, maka tuan tertakluk dengan syarat tersebut.

Namun sekiranya pihak penjual dan pembeli tidak mahu menjadikan harga semasa emas sebagai harga jual beli, maka jual beli tersebut masih sah. Kedua-dua pihak ada kebebasan untuk menggunakan harga semasa, harga yang lebih tinggi dari harga semasa, atau harga diskaun dari harga semasa.

Apa yang penting adalah selepas tuan bersetuju dengan sebarang harga, maka tuan membuat pembayaran penuh dan penjual dapat memberikan resit bagi memenuhi syarat qabadh.

Sekiranya berlakunya pembayaran ansuran, maka itu adalah riba.


Soalan 7 + 1: Apakah hukum pelaburan emas secara online?

Apabila Islam meletakkan syarat jual beli tunai, maka maksudnya pembeli mesti cukup duit dan penjual mesti ada emas semasa jual beli berlaku.

Dalam jual beli online yang tidak membabitkan emas fizikal, maka kebiasaannya ia melibatkan pasaran hadapan yang mana tuan tidak perlu membayar penuh harga emas, penjual pun tidak perlu memiliki emas pada transaksi online itu berlaku.

Kita hanya perlu membuat tekaan turun naik harga semata-mata. Kalau betul kita untung, kalau salah kita rugi.

Maka hukumnya sama dengan pelaburan forex iaitu pelaburan sebegitu adalah haram kerana pelaburan secara online sebegitu tidak memenuhi syarat jual beli emas atau/ matawang yang halal di sisi Islam.

#Soal jawab ini juga dapat digunakan untuk situasi jual beli perak dan matawang (currency).



SUMBER - http://www.majalahniaga.com/7-soalan-popular-mengenai-jual-beli-emas.html

Monday, October 3, 2011

Asas Pasaran Niaga Hadapan

PADA bahagian lepas, sejarah pasaran niaga hadapan dibincang. Dalam bahagian ini, kita akan berbincang bagaimana niaga hadapan berfungsi.

Jadi, apakah niaga hadapan?

Pasaran Hadapan adalah derivatif yang mana nilainya bergantung kepada aset pendasar hadapan. Sebagai contoh, nilai niaga hadapan Emas bergantung kepada harga Emas (emas merujuk kepada aset pendasar). Niaga Hadapan dikatakan mencerminkan harga sebenar komoditi tertentu. Kebanyakan pelabur menggunakan niaga hadapan sebagai ramalan arah harga komoditi.

Pergerakan harga kontrak niaga hadapan mempunyai hubungan kait dengan pergerakan harga aset pendasar. Dalam erti kata lain, apabila harga Emas meningkat, begitu juga dengan Niaga Hadapan Emas.

Kontrak niaga hadapan boleh dijelaskan sebagai perjanjian antara dua pihak di mana satu pihak (pembeli) bersetuju untuk membeli dari pihak lain (penjual), aset pendasar pada tarikh masa hadapan pada harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada hari ini.

Aset pendasar boleh ditakrifkan sebagai aset di mana harga derivatif bergantung kepada kontrak niaga hadapan.

Sebagai contoh, katakan Dorian membuat pesanan penghantaran McDonald untuk makan tengah harinya. Pembelian Dorian adalah sama dengan kontrak niaga hadapan kerana Dorian (sebagai pembeli) telah bersetuju untuk menerima produk (burger dan kentang goreng) pada tempoh masa depan (40 minit kemudian) dengan harga (harga makanan) dan cara penghantaran (alamat yang diberikan oleh Dorian) yang telah ditetapkan dengan Restoran McDonald (penjual) terlebih dahulu.

Sekiranya McDonald ingin menaikkan harga burger dan kentang goreng dalam masa 40 minit akan datang, ia tidak akan berlaku kerana Dorian telah menetapkan harga yang lebih rendah terlebih dahulu. Justeru, Dorian tidak mempunyai risiko untuk membayar perbezaan kenaikan harga tersebut. Perlu diingatkan bahawa niaga hadapan tidak semudah itu, namun contoh ini menunjukkan ilustrasi niaga hadapan dengan meminimakan aspek teknikalnya. Kita seharusnya memahami asas niaga hadapan sebelum berkecimpung secara mendalam.

Perlu diingatkan bahawa kontrak hadapan adalah wajib bagi kontrak hadapan untuk membeli atau menjual aset pendasar biasanya komoditi, pada masa hadapan pada harga yang telah ditetapkan hari ini. Kewajipan ini seharusnya dipenuhi oleh individu yang memegang kontrak tersebut. Ini bermakna pembeli bertanggungjawab untuk menunaikan syarat-syarat kontrak pada tarikh luput melainkan jika ia telah ofset. Ini boleh dilakukan dengan mengimbangkan kedudukan kontrak daripada individu asal.

Contohnya, John telah membeli kontrak niaga hadapan. Untuk memenuhi tanggungjawabnya, John hendaklah menutup kedudukannya dengan menjual apa yang dibeli oleh beliau.

Ada kalanya, individu memilih untuk memegang kontrak sehingga tarikh penyerahan. Kontrak tersebut perlu diselesaikan secara tunai ataupun melalui penghantaran komoditi fizikal (atau aset pendasar). Contohnya, Melissa ingin memegang kontrak niaga kelapa sawit sehingga tarikh penghantaran, beliau perlu mencari tempat untuk menyimpan minyak sawit yang akan dihantar kepadanya secara fizikal selepas tarikh penyerahan sebagaimana dinyatakan dalam kontrak tersebut.

Ia adalah penting untuk mengetahui bahawa istilah 'komoditi' yang disebut dalam niaga hadapan mempunyai takrifan yang luas. Komoditi dalam niaga hadapan termasuk komoditi fizikal, instrumen kewangan dan pertukaran wang asing serta indeks saham.

Bukan semua kontrak niaga hadapan akan diselesaikan secara penghantaran fizikal. Sekiranya kontrak itu tidak ditutup sebelum tarikh luput, pemegang kontrak niaga hadapan akan membayar atau menerima jumlah wang yang sama dengan perbezaan dalam nilai kontrak pada tempoh ia dibuka sehingga harga penutupan yang terakhir bagi kontrak tersebut. Ini dikenali sebagai penyelesaian tunai.

Walaupun senario ini boleh berlaku, namun kebanyakan pemegang kontrak niaga hadapan akan menutup kontrak mereka sebelum tarikh luput dengan menetapkan kedudukan yang sesuai.

Dalam bahagian seterusnya, kami akan meliputi pemain-pemain utama dalam pasaran hadapan serta peranan mereka dalam pasaran.

Artikel disumbangkan oleh Bursa Malaysia Bhd.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...