Saturday, January 10, 2009

Harga emas mungkin cecah AS$1,100

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Harga emas mungkin mencecah AS$1,100 seaun tahun ini di tengah-tengah ketidaktentuan di dalam ekonomi global, kata Pengerusi Eksekutif Poh Kong Holdings Bhd., Datuk Choon Yee Seiong.

"Ia berkemungkinan mencecah AS$1,100 dan melihat kepada keadaan semasa dengan kelembapan global. Kami meramalkan kemungkinan harga emas meningkat," katanya hari ini.

Biasanya emas merupakan pelaburan yang menarik bagi mereka yang mencari tempat selamat untuk melabur wang mereka atau sebagai pelindung nilai terhadap sebarang krisis ekonomi, politik, sosial atau berasaskan mata wang.

Memandangkan ketidaktentuan ekonomi berkemungkinan berterusan bagi masa akan datang yang boleh diramalkan, emas dijangka menarik pembelian perlindungan modal dari para pelabur yang tidak mahu mengambil risiko pada tahun ini.

"Dari segi sejarah, emas meningkat sejajar dengan pergolakan di seluruh dunia. Harga yang tinggi akan memberikan berita positif kepada keuntungan dan margin kami," kata Yee Seiong, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan syarikat itu.

Ditanya sama ada harga emas yang tinggi akan melembapkan permintaan, katanya: "Menurut rekod kami, kami masih melihat pertumbuhan dalam jualan emas walau pun apabila harga meningkat sedikit tahun lalu."

Tahun lepas, harga emas mencecah AS$1,000 seaun tetapi kemudian ia turun kepada AS$800 seaun.

Emas menyumbang 80 peratus perolehan Poh Kong tapi syarikat itu tidak mengabaikan pengiklanan dan promosi bagi permata dan berliannya, kata Yee Seiong.

"Poh Kong yakin bahawa walau harga emas tinggi, kami yakin tidak akan terjejas teruk kerana emas mempunyai nilai dalaman dan pengguna berpaling kepada emas sebagai alat untuk melindung nilai dari inflasi," katanya.

- Bernama

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...