Wednesday, September 15, 2010

Dr. M perjelas guna dinar emas

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, cadangannya mengenai penggunaan dinar emas yang dibuatnya sembilan tahun lalu adalah demi memastikan Malaysia serta negara membangun lain bebas daripada manipulasi penyangak mata wang dunia.

Beliau berkata, prosedur penggunaan dinar emas dalam aktiviti perdagangan dua negara perlu dilakukan dengan simpanan mata wang emas tidak dibuat dalam bentuk syiling, sebaliknya bata atau jongkong emas yang nilainya ditentukan mengikut harga emas dalam pasaran.

Dalam entri blognya, http://chedet.co.cc hari ini, beliau memberitahu, bayaran untuk dagangan kedua-dua negara itu pula dibuat oleh bank pusat masing-masing setelah nilai eksport dan import tersebut dihitung.

"Jika (jumlah) import melebihi eksport, negara berkenaan akan membayar dengan nota kredit bersamaan jumlah nilai emas.

"Jika pada bulan hadapan eksportnya ke negara berkenaan melebihi nilai import, maka bayaran untuk lebihan ini boleh dibuat dengan nota kredit bulan lepas," katanya dalam entri bertajuk Dinar Emas 2.

Penjelasan Dr. Mahathir itu dilihat sebagai menjawab dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa baru-baru ini yang mendakwa idea penggunaan mata wang itu dipolitikkan Kerajaan Pusat.

Pada 12 Ogos lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham dikeluarkan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin selepas itu pula berkata, penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak oleh kerajaan Kelantan boleh mengakibatkan lebih 1,000 pengusaha kedai dan restoran di sana berdepan risiko seperti ditipu.

Katanya, risiko itu wujud akibat sebahagian besar peniaga serta pengguna tidak mahir membezakan di antara dinar emas dan dirham perak tulen dengan yang palsu.

Dr. Mahathir seterusnya menegaskan, penggunaan dinar emas di pasaran antarabangsa menjamin transaksi dagangan tidak dibayar dengan emas walaupun ia menentukan nilai barangan yang didagangkan.

"Jika nilai import adalah sama dengan eksport, bayaran tidak perlu dibuat. Ia menjadi dagangan secara barter (tukar barang).

"Dengan menggunakan emas untuk menentukan nilai dagangan, Dolar Amerika yang jelas tidak stabil, tidak perlu digunakan lagi. Permainan oleh penyangak mata wang juga akan terhenti," katanya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0915&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm&arc=hive
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...