Monday, October 1, 2007

Emas Menjadi Petunjuk Inflasi Global

LANGKAH kerajaan Amerika Syarikat (AS) membendung krisis subprima dengan menyuntik kecairan dilihat oleh ramai penganalisis ekonomi global sebagai satu penyelesaian jangka pendek, dan boleh menyebabkan berlaku inflasi kepada ekonomi dunia.

Pada 18 September lalu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bank pusat AS terpaksa menurunkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas iaitu daripada 5.25 peratus kepada 4.75 peratus dan FOMC dijangka akan terus melaksanakan langkah tersebut sekali lagi sekiranya krisis kredit subprima terus mengancam sektor kewangan negara kuasa besar itu.

Lanjutan daripada langkah itu, penanda aras pasaran saham AS, Indeks Perusahaan Dow Jones melonjak 417 mata pada hari berikutnya diikuti oleh pasaran saham utama global lain termasuk Malaysia yang menyaksikan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) juga melonjak semula daripada paras terendah 1,197 mata pada 17 September lalu kepada 1,336.30 pada penutup akhir minggu lalu.

Ramai pakar ekonomi dunia menyifatkan langkah FOMC itu hanya mampu merangsang pasaran modal dengan merendahkan kos pinjaman dalam jangka pendek.

Namun langkah itu juga menyebabkan nilai dolar AS turut jatuh dan mendedahkan dunia kepada risiko inflasi.

Pakar Ekonomi Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Anthony Dass berkata, hanya satu komponen dalam ekonomi iaitu pasaran ekuiti memberi reaksi positif kepada langkah AS itu kerana mempunyai kecairan yang banyak.

Kecairan yang banyak ini telah mempengaruhi permintaan terhadap komoditi lain termasuk emas dan minyak mentah sehingga mendorong kenaikan harga komoditi-komoditi tersebut kepada paras tertinggi baru.

Menurutnya, ini mengakibatkan harga emas yang direkodkan pada 21 September lalu mencatat harga tertinggi dalam tempoh 27 tahun iaitu pada AS$745 (RM2,570) bagi setiap aun troy.

Beliau berkata, harga emas selalunya menjadi petunjuk kepada inflasi global, sambil memberikan contoh apabila AS mengalami inflasi sebanyak 12 peratus pada tahun 1980 ketika emas merekodkan paras tertinggi pada AS$850 setiap aun troy.

Dass berkata, dalam masa yang sama, sejak 1990-an harga minyak mentah telah mengikuti pergerakan harga emas dalam memberi petunjuk awal mengenai kadar inflasi global.

‘‘Langkah FOMC menaikkan kadar faedah menyebabkan pelabur-pelabur menjual mata wang dolar secara besar-besaran dan menjejaskan mata wang dolar AS berbanding mata wang negara lain’’ katanya.

Pada peringkat global, dolar AS selaku mata wang rizab antarabangsa dengan sebahagian besar urusniaga global dilakukan dalam mata wang tersebut turut mengalami kejatuhan nilai.

Akibatnya ramai pelabur merasakan lebih selamat membeli emas kerana ia merupakan komoditi yang dianggap selamat untuk disimpan dan pada masa yang sama mereka juga enggan memegang dolar kerana nilainya yang rendah.

Harga komoditi komersial iaitu minyak mentah juga merekodkan paras tertinggi dalam sejarah apabila mencecah AS$82 (RM282.90) setong di New York Merchantile Exchange pada 21 September lalu dan kekal di atas paras AS$80 setong hingga akhir minggu lalu.

Majlis Emas Sedunia (World Gold Council - WGC) dalam satu laporan hasil penyelidikannya baru-baru ini berkata, cara terbaik melihat sama ada dasar monetari AS itu bakal membawa tekanan kepada inflasi atau tidak adalah dengan melihat kepada harga emas.

WGC berkata, pergerakan harga emas telah lama dan lebih awal digunakan dalam meramalkan arah aliran inflasi, berbanding harga minyak dan bon.

“Sejak 1990an, kenaikan harga emas bergerak seiring dengan harga minyak serta bon, bagaimanapun pergerakan harga emas selalunya mendahului harga minyak dan bon setahun lebih awal,” tambah WGC.

Menurut WGC, emas adalah simbol kekayaan dan tidak digunakan, berbanding bahan mentah industri dan komoditi lain seperti minyak yang habis digunakan.

Jika dibandingkan dengan logam lain seperti perak dan tembaga, emas lebih cair dan mudah ditunaikan dan boleh digunakan kembali untuk membeli barangan dan perkhidmatan lain.

Menurut WGC, perubahan harga emas juga merupakan petunjuk utama pergerakan nilai mata wang atau nilai benar harga barangan yang mengambil kira kadar inflasi.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_06.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...