Friday, August 26, 2011

Nilai emas bagi wanita Kelantan

KOTA BHARU 25 Ogos – Emas adalah barang paling akrab dengan golongan wanita kerana tanpa kilauan emas, penampilan mereka dirasakan seperti tidak sempurna.

Emas disusun kemas dan cantik bagi menarik perhatian golongan wanita.

Di Malaysia, wanita Kelantan antara golongan yang dikatakan pencinta barang kemas itu sehingga ada yang berjenaka ‘tangan dan leher wanita Kelantan sentiasa disaluti perhiasan emas.’

Maka tidak hairanlah didapati ramai wanita Kelantan termasuk peniaga sayur di Pasar Siti Khadijah, pergelangan tangan mereka sentiasa disaluti barangan kemas, menggambarkan betapa obsesnya golongan hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang ini kepada emas.

Kenaikan mendadak harga emas di pasaran ketika ini juga dilihat tidak menjejaskan minat mereka terhadap barang kemas apabila tinjauan sekitar bandar ini baru-baru ini mendapati, hampir kesemua kedai emas menerima kunjungan ramai di kalangan wanita yang ingin ‘melaram’ atau kelihatan ‘cantik’ semasa Hari Raya Aidilfitri.

Andainya pada sambutan hari raya raya tahun lalu, mereka membeli rantai yang beratnya kira-kira ‘lima rial berat’, tahun ini mereka mungkin membeli ‘20 rial berat’ pula.

Emas Kelantan mempunyai panggilan tersendiri iaitu ‘ satu rial berat’ bersamaan dengan 2.72 gram dan harga pasaran RM445 atau RM163.60 satu gram (ketika laporan ini dibuat).

Antara barangan kemas yang menjadi pilihan sudah semestinya rantai atau gelang yang ditawarkan dalam pelbagai bentuk rekaan klasik dan kontemporari.

Corak itu sesuai dengan cita rasa pelanggan terutama di kalangan anak gadis.

Seorang peniaga emas dan permata, Jamal Hosen, 30, memberitahu, walaupun jualannya kali ini agak berkurangan berbanding tahun lalu, namun, masih ramai yang datang membeli di kedainya.

“Antara yang menjadi pilihan ialah rantai tangan dengan reka bentuk seperti KLCC, Benson, Dunhill, bunga dan sebagainya.

‘‘Saya mendapat tempahan barang kemas ini dari Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia ditemui di sini, baru-baru ini.

Katanya, jualan barangan emas permata agak murah sedikit kerana mengggunakan kandungan emas yang lebih sedikit, tetapi ia menjadi kegemaran di kalangan peraih emas kerana laris dijual.

Sementara itu, pemilik bengkel emas, Mohd. Zahari Awang, 42, memberitahu, pasaran barang kemas tempatan terus berkembang di sebalik peningkatan harganya hampir setiap hari.

Katanya, ini berdasarkan tempahan membuat pelbagai barang kemas daripada hampir 20 buah kedai emas termasuk dari luar Kelantan menjelang musim perayaan ini.

Menurutnya, tempahan itu mengikut kehendak pelanggan dan kebiasaannya cincin dan subang dengan berat satu rial berat, manakala rantai jenis ‘pahat telur’ dengan berat sehingga 21 rial.

Mohd. Zahari yang mempunyai bakat semula jadi dalam mereka bentuk barang kemas memberitahu, kebiasaannya emas tempatan membabitkan berat lebih 100 rial adalah untuk dijadikan simpanan oleh pembeli.

Pekerja mahir dalam pembuatan gelang dan rantai tangan, Zulkifli Zakaria, 46, pula memberitahu, tempahan barang kemas dibuat mengikut waktu dipersetujui oleh pelanggan.

“Kebanyakan warga emas menggemari bentuk tradisi berbanding golongan muda memilih bentuk terbaharu termasuk tulisan perkataan jawi dan rumi,” katanya.

Bagi penggemar emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan, kerana jika keadaan terdesak barang kemas tersebut boleh dijual balik terutama ketika harga emas meningkat.

Bagi Wan Aishah Wan Ahmad, 71, minatnya terhadap barang kemas bermula seawal usia remaja kerana keluarganya tergolong di kalangan peniaga emas yang menjalankan perniagaan emas dengan peniaga dari Thailand melalui sistem bata.

Bermula dari situ, katanya, dia mula berminat dengan barang kemas sehingga akhirnya berkecimpung dalam perniagaan tersebut pada usia 30-an di Mekah.

“Bila lihat emas cantik, saya beli selepas itu jual balik untuk beli tanah. Pelaburan seperti itu lebih baik. Kita tidak pakai emas sepanjang masa, hanya masa musim perayaan atau pergi kenduri-kendara,” katanya.

Seorang peniaga makanan ringan, Salma Yunus, 58, pula memberitahu, dia sudah berpuluh tahun sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat semata-mata untuk membeli emas.

“Sampai satu masa, saya beli emas untuk disimpan dan kemudian dijual bagi dijadikan modal oleh anak-anak memulakan perniagaan,” katanya yang mempunyai 10 orang anak berusia berusia antara 19 dan 40 tahun.

Jelas Salma, membeli emas sebenarnya satu pelaburan jangka panjang terutama pada saat mengalami masalah kewangan.

“Dulu emas kita beli untuk melawa, tetapi sekarang sudah tua dan keadaan sekarang juga bahaya jika terlalu menonjol memakainya di tempat awam,” katanya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_05.htm

Thursday, August 18, 2011

Usah Ditipu Tauke Emas

PERCAYA atau tidak, kira-kira 90 peratus masyarakat di negara ini langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang nilai dan kandungan emas. Tetapi mereka ini adalah antara pengunjung setia kedai-kedai barang kemas.

Abdul Razak Abdul kadir bersama para pekerjanya melayan para pelanggan yang berkunjung ke Cantik Jewellery Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan ini, selain pusat membeli-belah kedai yang menjual barang kemas juga turut sesak. Setiap orang mahu tampil dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang baru menjelang perayaan Aidilfitri ini.

Pengurus Besar Cantik Jewellery Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Habib Jewels, Abdul Razak Abdul kadir berkata, disebabkan sebahagian besar pengguna tidak mempunyai pengetahuan tentang nilai dan kandungan emas sebelum membeli atau menjualnya maka mereka mudah ditipu.

Mereka mudah diperdaya oleh tauke-tauke kedai emas yang tidak berprinsip dan mengejar keuntungan semata-mata. Bagaimanapun, jika mereka memilih rangkaian kedai emas milik Habib Jewels untuk menjual aset itu, jaminan pulangan terbaik diberikan kerana emas milik mereka akan dinilai mengikut kadar sebenar.

Jelas Abdul Razak, selain digunakan sebagai perhiasan diri, emas juga boleh dijadikan aset pelaburan yang menguntungkan.

"Melalui cash for gold di semua rangkaian Habib Jewels dan Cantik Jewellery, mereka boleh mendapat harga jualan emas pada harga 90 peratus daripada nilai pasaran atau RM20 (satu gram) lebih tinggi berbanding kedai lain.

"Kami berusaha membantu pelanggan-pelanggan khususnya orang Melayu dengan menyediakan alternatif jika mereka memerlukan wang.

"Pajak gadai yang sebelum ini merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah kewangan mengambil emas dengan kadar murah dan mengenakan sejumlah bayaran tertentu bagi mendapatkannya semula dan ia dikira satu penipuan dan penindasan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Harga emas pernah naik sehingga 210 peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dan sejak awal tahun ini ia mencatatkan kenaikan 25 peratus dan kemungkinan akan terus meningkat memandangkan harga dolar Amerika Syarikat kini jatuh merudum.

Bagi tujuan itu, Habib Jewels memperkenalkan kepingan emas atau gold bar 999 yang dibentuk mengikut berat tertentu sebagai aset pelaburan.

Katanya, kepingan emas itu boleh dijual pada bila-bila masa dan di mana sahaja di seluruh dunia kerana jenis kepingan emas yang dijual itu mempunyai nilai pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, kepingan emas itu boleh didapati di dua buah kios syarikat itu yang baru diwujudkan dua bulan lalu di Pejabat Pos Besar Menara Dayabumi, Kuala Lumpur dan cawangan Pos Malaysia di Gombak, Selangor.

"Kami berhasrat mewujudkan kios di semua pejabat pos seluruh negara sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan," katanya.

Tambah Abdul Razak, kepingan emas itu juga boleh disimpan di rangkaian pajak gadai Islam, Habib Arrahnu sekiranya mereka takut kehilangan aset tersebut jika disimpan sendiri.

"Aset mereka bukan sahaja dilindungi dan dijamin selamat serta diberi insurans, malah layak mendapat pinjaman 75 peratus daripada nilai aset yang disimpan," katanya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm

Saturday, August 13, 2011

Gandakan Nilai Harta Dengan Melabur Emas

PERTAMA kali dalam sejarah harga emas melepasi AS$1,800 seauns. Ini berikutan kebimbangan pelabur di Amerika Syarikat selepas had hutang negara tersebut dinaikkan buat kali ke 75 dan kemungkinan kelegaan kuantitatif dilakukan lagi.

Emas dilihat sebagai pelaburan yang selamat memandangkan ketidakupayaan kerajaan tersebut mengatasi masalah ekonominya.

Tindakan pelabur ini telah membuatkan Certified Gold Exchange dan J.P.Morgan Chase & Co mengemaskinikan ramalan kenaikan harga emas kepada AS$2,500 seauns.

Sejak 10 tahun lalu harga emas telah meningkat sebanyak 700 peratus (%). Kebimbangan pelabur bukan saja tertumpu kepada apa yang sedang berlaku di Amerika tetapi merebak kepada krisis hutang euro.

Setakat ini Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol dan Itali telah mengalami masalah defisit dan kemasukkan Itali, ekonomi ketiga terbesar di Eropah telah menambahkan kebimbangan para pelabur.

Minggu lepas kita telah dikejutkan dengan keruntuhan pasaran saham dunia, seluruh dunia, bukan di Amerika sahaja, malahan Eropah dan Asia hilang nilai modal pasaran bernilai hampir AS$4.4 trilion.

Walaupun keputusan Federal Reserve di Amerika tidak menaikkan kadar faedah melegakan pasaran sementara tetapi dari segi asas, Amerika dan Eropah masih lemah.

Walaupun kejatuhan di Malaysia dari segi peratusan lebih rendah daripada lain-lain bursa, tetapi dianggarkan RM91 bilion telah lenyap daripada nilai modal pasaran saham kita.

Apabila pasaran saham runtuh, pelabur lari mencari tempat yang selamat dan salah satu yang paling selamat ialah emas.

Beralih kepada pelaburan emas di Malaysia, pelaburan emas belum begitu menyerlah terutama sekali di kalangan orang Melayu.

Kebanyakan orang Melayu gemar membeli barang kemas yang dicampurkan dengan logam lain dan bukan seperti emas ketul yang ketulenannya di paras 999.99.

Apabila barang kemas dijual balik potongan sebanyak 30 sehingga 40 peratus dikenakan daripada harga semasa. Oleh itu ada baiknya melabur dengan emas yang ketulenannya 999.99.

Pada sesiapa yang berminat boleh memiliki syiling emas melalui Maybank dan buku simpanan melalui Public Bank.

Saya ingin menyarankan koperasi-koperasi melabur dalam emas. Kita lihat lima tahun dulu harga emas seauns ialah AS$520 dan hari ini sudah mencecah AS$1,800.

Pelaburan inilah yang bukan saja boleh menguntungkan koperasi sendiri tetapi juga ahli-ahlinya.

Keahlian keseluruhan koperasi di negara kita tidak kurang daripada 8 juta orang. Bayangkan kita dapat meningkatkan kekayaan orang Melayu berlipat kali ganda apabila melabur dengan emas.

Memang benar sistem ArRahnu sudah lama diwujudkan selaku pajak gadai Islam dan penggadai memperoleh setakat 65% daripada nilai emas yang dipajakkan.

Pada waktu yang sama upah simpan antara 0.5 sehingga 1% dikenakan untuk kadar maksimum selama 6 bulan.

Bagi pihak koperasi, ia boleh memberikan pinjaman untuk membeli emas yang disimpan selaku cagaran oleh koperasi dan ahli diberikan 65% daripada nilai emas yang disimpan dan boleh mengenakan sedikit faedah yang jauh lebih rendah daripada upah simpan melalui ArRahnu.

Kita mempunyai satu-satunya badan koperasi yang memiliki kaitan dengan beberapa koperasi yang lain dan diurus dengan betul serta berhati-hati dalam porfolio pelaburannya iaitu Angkasa.

Angkasa boleh mengambil langkah awal ini yang bakal menguntungkan sejumlah besar keahlian koperasi negara ini. Sekian lama orang Melayu tidak begitu mengambil berat tentang pelaburan emas tulen ini dan banyak pengaruh seperti FOREX yang mengalih perhatian orang Melayu kepada satu-satu pelaburan yang berisiko tinggi.

Satu-satu syarikat bumiputera yang terbabit dengan urusan jual beli emas ini ialah syarikat Serambi Emas yang mempunyai akses kepada London Gold Bullion Market dan pasaran emas di Switzerland, Jepun, Australia dan Dubai.

Sekarang majlis penerangan tentang pelaburan emas sedang giat dikendalikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pelaburan emas.

Inilah satu-satunya peluang bagi masyarakat Melayu melipatkan gandakan nilai harta mereka. Usaha-usaha yang lepas telah menunjukkan yang kita masih lagi jauh ketinggalan dari segi memiliki kekayaan.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas
Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)


SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Fahami Pelbagai Kos Jual Beli Emas

SEJAK kebelakangan ini banyak diperkatakan mengenai pelaburan dalam jongkong emas (gold bar). Saya berasa musykil apakah kelebihan membuat pelaburan dalam bentuk jongkong emas dengan membeli barang kemas (sebagai perhiasan)? Manakah yang lebih menguntungkan?

LAILI RAHMAn
Taman Desa


EMAS sentiasa menjadi topik pelaburan yang hangat, lebih-lebih lagi selepas kita melihat harga emas melonjak dalam tempoh dua tahun lepas. Dari segi dolar Amerika, harga emas telah naik sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun lepas dan lebih 150 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Sebab itulah emas kini mendapat perhatian ramai.

Soalnya apakah cara terbaik untuk meraih keuntungan daripada emas? Ada pelbagai cara anda boleh melabur dalam emas. Anda boleh membeli emas dalam bentuk fizikal sebenar dan ini mungkin dalam bentuk jongkong emas atau syiling emas. Syiling emas contohnya, Kijang Emas, mungkin lebih popular di Malaysia. Apabila membeli syiling emas, bank akan menyebut harga belian dan harga jualan. Inilah harga di mana bank akan membeli emas daripada anda atau menjual emas kepada anda. Dua harga ini adalah berbeza dan inilah kos anda untuk memiliki emas.

Sebagai contoh, untuk satu auns emas, harga jualan ialah RM5,571 bagi Kijang Emas. Inilah harga satu auns Kijang Emas yang dijual oleh bank kepada anda. Harga belian balik ialah RM5,352 bagi satu auns Kijang Emas. Inilah harga bank akan membeli balik satu auns Kijang Emas daripada anda, atau dengan kata lain, anda akan menjual balik barang kemas anda pada harga ini. Jika anda mahu membeli emas, anda boleh berbuat demikian pada harga RM5,571 dan menjualnya pada RM5,352. Perhatian bahawa terdapat perbezaan 4.0 peratus antara kedua-dua harga ini. Jika anda membeli Kijang Emas, katakan pada harga RM5,571, anda perlu menunggu harga belian balik RM5,352 untuk naik melebihi harga belian RM5,571 untuk meraih untung. Oleh itu ada baiknya meninjau sama ada terdapat harga jualan dan belian yang lebih baik.

Sebagai pilihan, anda boleh membeli barangan kemas daripada kedai emas. Kaedah ini menjadi pilihan utama di Timur Tengah dan Asia. Umumnya terdapat harga emas runcit yang ditetapkan oleh Persekutuan Tukang Emas dan Persatuan Jauhari Malaysia (www.fgjam.org.my) yang memberikan panduan tentang kadar emas yang ditawarkan oleh kedai emas. Anda perlu ingat bahawa barangan kemas berhubung kait dengan arah hala dan terdapat bahagian tertentu kos barangan kemas yang berkaitan dengan kerja ketukangan.

Jika barangan kemas dileburkan, anda mungkin kehilangan nilai kos berkait dengan kerja ketukangan tersebut, kerana nilai akhir yang dikira adalah hanya berasaskan nilai emas.

Selain itu adalah sukar untuk mengesahkan kandungan emas. Jadi nilai barangan kemas anda mungkin tidak mudah dan sukar ditentukan secara konsisten. Anda juga perlu mempertimbangkan faktor simpanan, sebagai contoh, menyewa peti besi atau peti simpanan selamat jika anda mempunyai jumlah emas yang besar.

Satu lagi cara yang semakin popular sejak dua tahun lepas ialah akaun buku simpanan emas. Apabila anda membuka akaun tersebut, anda akan diberikan buku simpanan.

Ia berfungsi sama seperti akaun simpanan. Apabila gaji anda dikreditkan ke dalam akaun simpanan, anda tidak memegang tunai secara fizikal sehingga anda mengeluarkannya daripada ATM.

Oleh sebab terdapat pelbagai kaedah untuk membeli emas, anda perlu memahami kos menjual beli emas. Satu lagi, emas diniagakan dalam dolar Amerika, dengan itu terdapat risiko tukaran asing bagi pelabur yang membeli emas dalam mata wang lain, seperti Ringgit Malaysia (RM).

Sebarang keputusan melabur dalam emas hendaklah dibuat untuk jangka panjang. Berdasarkan pergerakan pasaran saham, emas memberikan perlindungan terhadap ketidaktentuan global. Selain itu, emas merupakan lindung nilai yang baik terhadap inflasi. Justeru, emas merupakan kelas aset yang patut dipertimbangkan.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

Friday, August 12, 2011

Harga Emas Lepasi Paras AS$1,800 Seaun

NEW YORK 11 Ogos - Harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seaun semalam buat pertama kalinya selepas pelabur menarik keluar pelaburan mereka bagi membeli kontrak komoditi itu.

Emas menjadi kegemaran pelabur bagi berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa ini.

Sementara itu, di awal dagangan pasaran emas Asia, komoditi tersebut melonjak ke paras tertinggi AS$1,814.50 (RM5,443.50) hingga AS$1,815.50 (RM5,446.50) seaun.

Rekod itu dicatatkan selepas pasaran ekuiti Asia menjunam pada dagangan awal, dengan Tokyo kerugian sehingga dua peratus, Seoul pula jatuh sebanyak empat peratus dan Sydney didagangkan 1.5 peratus lebih rendah.

Para pelabur telah dikejutkan dengan kemungkinan penurunan taraf kredit Perancis yang berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan untuk pertama kalinya.

Khabar angin tentang penurunan taraf kredit Perancis itu timbul ekoran masalah yang dihadapi oleh beberapa bank di negara itu dan menguatkan lagi kebimbangan krisis hutang zon Eropah yang telah merebak.

Pelabur-pelabur bimbang bahawa Itali dan Sepanyol akan menjadi negara seterusnya yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Sistem kewangan Eropah berada dalam keadaan buruk disebabkan oleh pihak bank yang memegang bon negara-negara yang mempunyai hutang besar seperti Greece dan Portugal.

Para pelabur dilihat berpaut kepada apa yang mereka rasakan sebagai pelindung nilai berbanding turun naik pasaran saham dan mata wang.

Komoditi itu pernah didagangkan sekitar AS$900 (RM2,700) pada musim panas 2008 sebelum krisis kewangan berlaku pada tahun itu. - Agensi

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

Wednesday, August 10, 2011

Kilauan emas sempena Syawal

WANITA dan barang kemas umpama kawan karib yang mampu menceria dan menghiburkan hati yang berduka.

Buktinya, bagi memujuk isteri atau kekasih yang merajuk lelaki biasanya memilih untuk menghadiahkan barang kemas .

Set Legenda Emas mengandungi rantai dan gelang dipadankan dengan anting-anting Impian dan cincin reka bentuk bunga.

Barang kemas turut dipandang sebagai pemberian yang istimewa dalam sesuatu perkahwinan sebagai hadiah atau hantaran. Selain cincin, ada yang menghadiahkan gelang, rantai tangan, rantai leher dan sebagainya.

Oleh kerana itu, walau harga emas semakin mahal bukan menjadi penghalang untuk wanita mengunjungi kedai-kedai emas bagi mendapatkan koleksi terbaru atau sekadar untuk 'mencuci mata'.

Pengurus Kanan Pemasaran Tomei, Christine Lim, mengakui suasana orang ramai membeli barang kemas tambah rancak menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, bagi sesetengah wanita yang berkemampuan, persediaan menyambut hari raya termasuklah membeli barang kemas baru.

"Selain menyediakan pakaian, perhiasan rumah, kuih-muih dan sebagainya, hari raya mereka terasa lebih meriah dan seronok jika mendapat barang kemas baru.

"Ada yang membeli baru bagi menambah yang sedia ada, tidak kurang juga yang menukar barang kemas lama mereka kepada yang baru bagi mendapatkan rekaan terkini," katanya.

Berdasarkan corak pembelian barangan kemas di Tomei, kata Christine, masyarakat Melayu lebih gemar membeli emas kuning kerana warna emas kuning lebih terpancar dan berseri.

Manakala emas putih pula biasanya diminati oleh golongan muda lebih-lebih lagi yang bertatah berlian.

Sementara itu sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Tomei tidak ketinggalan sama memeriahkan dengan memperkenalkan koleksi terbaru barang kemas yang lebih cantik dan berseri.

Menurut Christine, koleksi yang bertemakan Gemilang Emas Bersama Tomei ini merupakan rekaan terbaru yang menonjolkan kegemilangan emas dan kecantikan berlian.

"Setiap rekaan yang terdapat dalam koleksi ini menyerikan si pemakai dengan makna tersendiri, selain memaparkan daya tarikan emas sebagai hiasan tidak terbatas dek zaman," katanya.

Beliau berkata, tiga set sensasi bakal menarik perhatian iaitu Set Gemilang Emas yang melambangkan kegemilangan zaman seorang wanita, set Lagenda Emas pula memaparkan cerita turun-temurun keagungan emas sementara set Seri Mewah mencetus kemewahan seni ukiran emas.

Selain itu turut ditampilkan anting-anting Impian yang anggun dan menarik.

Juga tidak ketinggalan ialah koleksi Sweet Lily daripada jenama antarabangsa Prima Gold yang merupakan koleksi emas tulen 24K.

"Sejak turun temurun emas sudah dianggap sebagai komoditi yang berharga dan bernilai.

"Jadi bagi memperingat prestij tersebut, sempena hari raya ini kami perkenalkan jongkong emas keluaran khas dengan gambar KLCC. "Jongkong emas menjadi pilihan pelanggan yang membeli emas sebagai pelaburan masa depan," kata Christine.

Sementara itu, sempena promosi Jimat-Jimat Raya di Tomei, orang ramai boleh mengunjungi pameran emas dan berlian Tomei di Alamanda, Putrajaya dari 5 hingga 29 Ogos; Suria KLCC (6-14 Ogos) dan 1 Utama (10-21 Ogos).

Pelbagai tawaran menarik serta hadiah percuma disediakan sepanjang promosi tersebut.

Selain itu sertai juga Peraduan Gemilang Emas Bersama Tomei di Facebook dengan melayari www.facebook.com/mytomei yang bermula 1 hingga 15 Ogos dan menangi loket edisi khas Prima Gold.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Feminin&pg=fe_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...