Wednesday, August 10, 2011

Kilauan emas sempena Syawal

WANITA dan barang kemas umpama kawan karib yang mampu menceria dan menghiburkan hati yang berduka.

Buktinya, bagi memujuk isteri atau kekasih yang merajuk lelaki biasanya memilih untuk menghadiahkan barang kemas .

Set Legenda Emas mengandungi rantai dan gelang dipadankan dengan anting-anting Impian dan cincin reka bentuk bunga.

Barang kemas turut dipandang sebagai pemberian yang istimewa dalam sesuatu perkahwinan sebagai hadiah atau hantaran. Selain cincin, ada yang menghadiahkan gelang, rantai tangan, rantai leher dan sebagainya.

Oleh kerana itu, walau harga emas semakin mahal bukan menjadi penghalang untuk wanita mengunjungi kedai-kedai emas bagi mendapatkan koleksi terbaru atau sekadar untuk 'mencuci mata'.

Pengurus Kanan Pemasaran Tomei, Christine Lim, mengakui suasana orang ramai membeli barang kemas tambah rancak menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, bagi sesetengah wanita yang berkemampuan, persediaan menyambut hari raya termasuklah membeli barang kemas baru.

"Selain menyediakan pakaian, perhiasan rumah, kuih-muih dan sebagainya, hari raya mereka terasa lebih meriah dan seronok jika mendapat barang kemas baru.

"Ada yang membeli baru bagi menambah yang sedia ada, tidak kurang juga yang menukar barang kemas lama mereka kepada yang baru bagi mendapatkan rekaan terkini," katanya.

Berdasarkan corak pembelian barangan kemas di Tomei, kata Christine, masyarakat Melayu lebih gemar membeli emas kuning kerana warna emas kuning lebih terpancar dan berseri.

Manakala emas putih pula biasanya diminati oleh golongan muda lebih-lebih lagi yang bertatah berlian.

Sementara itu sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Tomei tidak ketinggalan sama memeriahkan dengan memperkenalkan koleksi terbaru barang kemas yang lebih cantik dan berseri.

Menurut Christine, koleksi yang bertemakan Gemilang Emas Bersama Tomei ini merupakan rekaan terbaru yang menonjolkan kegemilangan emas dan kecantikan berlian.

"Setiap rekaan yang terdapat dalam koleksi ini menyerikan si pemakai dengan makna tersendiri, selain memaparkan daya tarikan emas sebagai hiasan tidak terbatas dek zaman," katanya.

Beliau berkata, tiga set sensasi bakal menarik perhatian iaitu Set Gemilang Emas yang melambangkan kegemilangan zaman seorang wanita, set Lagenda Emas pula memaparkan cerita turun-temurun keagungan emas sementara set Seri Mewah mencetus kemewahan seni ukiran emas.

Selain itu turut ditampilkan anting-anting Impian yang anggun dan menarik.

Juga tidak ketinggalan ialah koleksi Sweet Lily daripada jenama antarabangsa Prima Gold yang merupakan koleksi emas tulen 24K.

"Sejak turun temurun emas sudah dianggap sebagai komoditi yang berharga dan bernilai.

"Jadi bagi memperingat prestij tersebut, sempena hari raya ini kami perkenalkan jongkong emas keluaran khas dengan gambar KLCC. "Jongkong emas menjadi pilihan pelanggan yang membeli emas sebagai pelaburan masa depan," kata Christine.

Sementara itu, sempena promosi Jimat-Jimat Raya di Tomei, orang ramai boleh mengunjungi pameran emas dan berlian Tomei di Alamanda, Putrajaya dari 5 hingga 29 Ogos; Suria KLCC (6-14 Ogos) dan 1 Utama (10-21 Ogos).

Pelbagai tawaran menarik serta hadiah percuma disediakan sepanjang promosi tersebut.

Selain itu sertai juga Peraduan Gemilang Emas Bersama Tomei di Facebook dengan melayari www.facebook.com/mytomei yang bermula 1 hingga 15 Ogos dan menangi loket edisi khas Prima Gold.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Feminin&pg=fe_01.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...