Tuesday, January 24, 2012

Poh Kong unjur RM1b jualan

PETALING JAYA 23 Jan. - Poh Koh Holdings Bhd. (Poh Kong) berupaya mencatatkan jualan mencecah RM1 bilion dalam beberapa tahun akan datang, jika trend kenaikan harga emas terus berpanjangan.

Penyelia Kewangannya, Koh Sze Haw berkata, keadaan itu boleh digambarkan menerusi prestasi kewangan suku pertama syarikat yang berakhir 31 Oktober 2011 lalu, di mana Poh Kong mencatatkan jualan sebanyak RM230 juta berbanding RM169 juta pada tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada harga komoditi itu di pasaran antarabangsa untuk jangka panjang. Sukar bagi kami meletakkan sebarang sasaran.

"Prestasi jualan ini juga bergantung kepada permintaan semasa serta promosi yang dijalankan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Katanya, harga emas juga tidak berterusan meningkat apabila harganya ketika ini sedikit menurun kepada AS$1,600 (RM4,800) seaun berbanding AS$1,900 (RM5,700) seaun pada 5 September 2011.

Satu aun bersamaan 28.35 gram emas.

Jika dibanding dalam tempoh lima tahun lalu, harga emas berada di sekitar AS$750 (RM2,250) seaun manakala sedekad lalu harga komoditi itu bernilai AS$320 (RM960) seaun.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Poh Kong, Datuk Eddie Choon berkata, harga emas tahun ini mampu berada paras yang tinggi jika ketidakstabilan politik di negara-negara Arab berterusan.

"Jika konflik akibat sekatan perdagangan ke atas Iran berterusan, ia mampu mendorong kepada kenaikan harga emas sehingga 30 peratus lagi," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh apabila berlakunya kekacauan di rantau Arab pada pertengahan tahun lalu, ia telah mendorong kenaikan harga emas dunia.

Tambah beliau lagi, pihaknya mempunyai kelebihan apabila ada antara produk emasnya itu diperoleh ketika harga masih rendah tetapi dijual mengikut harga pasaran.

Malah katanya, penstrukturan semula beberapa anak syarikat Poh Kong ketika ini juga mampu memberi kesan terhadap operasi syarikat untuk jangka panjang.

"Gaya hidup masyarakat negara ini yang mula mementingkan penampilan juga mendorong kepada peningkatan hasil jualan kami. Di tambah pula ada di kalangan mereka yang melihat emas sebagai alat pelaburan jangka panjang," katanya.

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Julai 2011, syarikat itu merekodkan hasil jualan sebanyak RM692.4 juta iaitu peningkatan 23.4 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_04.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...