Monday, January 30, 2012

Pelaburan Dalam Jongkong Emas Merugikan?

SAYA ialah antara mereka yang memilih untuk melabur dalam jongkong emas melalui pembelian emas tulen 999.99.

Atas nasihat seorang kawan, saya bersetuju dengan harapan membuat pelaburan dalam emas tulen sebegini menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas dikatakan terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram.

Selain daripada tidak banyak maklumat yang diketahui dalam perkara jual beli jongkong emas, saya juga termakan dengan pemikiran bahawa tidak ramai orang Melayu melabur dalam jongkong emas kerana orang Melayu lebih berminat membeli barang kemas yang diperbuat daripada emas seperti emas 916 misalnya.

Isunya di sini yang menimbulkan persoalan dan kejutan kepada saya ialah ketika saya ke tempat 'A' untuk menjual balik ketulan emas di sana iaitu sebuah kedai emas terkemuka yang tidak perlu disebutkan nama demi menjaga reputasinya.

Saya terkedu apabila pekerja yang berurusan dengan saya menyatakan harga bagi jual balik adalah RM15,400 untuk 100 gram emas.

Sementara itu, harga untuk membeli pula adalah RM18,000 untuk 100 gram sedangkan pada masa itu harga emas di pasaran semasa adalah RM19,800.

Ekoran peristiwa ini saya rasa seperti ditipu dan sangat terkilan kerana untung lumayan dibayangkan tersasar jauh. Sebaliknya, kerugian yang bakal ditanggung jika saya meneruskan niat untuk menjual emas pada hari itu.

Melalui ruangan ini, saya berharap pihak berwajib seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara serta pihak berkuasa lain dapat memberi penjelasan dan garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...