KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Orang ramai akan berpeluang mendekati dan melihat sendiri keunikan al-Quran bersalut emas menerusi Pameran Khazanah Islam dari China yang bermula esok.
Penolong Pegawai Keselamatan Muzium, Mohd. Zuki Omar (kiri) meneliti al-Quran bersalut emas yang dianggarkan bernilai RM170 juta yang akan dipamerkan sempena Pameran Khazanah Islam China di Muzium Negeri Terengganu bermula hari ini.
Pameran selama enam bulan anjuran bersama syarikat Topchain Capital Sdn. Bhd. dan Muzium negeri itu akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Pengurus Besar Topchain Capital, Wan Farahaida Wan Idrus berkata, pameran yang membabitkan al-Quran bersalut emas itu kali kedua diadakan selepas diperkenalkan di Melaka tahun lalu.
"Kedua-duanya naskhah (al-Quran) yang dipamerkan di Melaka dan di sini hampir sama dan bezanya cuma dari segi saiz kerana apa yang dipamerkan di sini besar sedikit.
"Bagaimanapun, ia tetap disaluti hampir 40 peratus emas dan dianggarkan nilai pasarannya ketika ini mencecah RM170 juta," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Wan Farahaida, disebabkan nilai yang terlalu tinggi, pihaknya terpaksa meningkatkan tahap keselamatan termasuk pada waktu malam dan menyimpan al-Quran itu di suatu tempat khas.
"Beberapa pegawai bersenjata akan berkawal sepanjang pameran itu diadakan dan mereka juga akan melakukan rondaan pada setiap masa bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Pada masa yang sama, kita juga telah mendapatkan kerjasama polis negeri untuk tujuan tersebut," katanya.
Wan Farahaida berkata, al-Quran yang dianggarkan berusia lebih 500 tahun itu berasal dari kerajaan Uthmaniyyah dan dibawa ke Timur Turkistan (Xianjiang-China) ketika Dinasti Ming.
"Ia menggunakan skrip Naskhi dan dua set telah dibawa untuk dipertontonkan di sini," ujarnya.
Menurutnya, selain al-Quran bersalut emas, pameran itu turut memberi peluang pengunjung melihat bekas gangsa yang digunakan untuk memasak sewaktu Dinasti Shang.
Katanya, keunikan bekas gangsa itu ialah bahagian dalamnya diperbuat daripada emas walaupun luar daripada gangsa.
"Turut dijangka menjadi tarikan ialah pinggan bersalut emas, tembikar yang dihiasi ukiran emas serta kuda seramik," katanya.
Pameran itu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari dan akan berakhir pada 14 Ogos ini.
SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_03.htm
No comments:
Post a Comment