Secara mudahnya, semua item yang diterima umum sebagai perantara (medium of exchange) untuk pertukaran sesuatu barang dan khidmat, ia boleh dianggap sebagai duit.
Ada yang menggunakan batu tertentu, kulit kerang, garam sebagai duit. Kerajaan Roman memulakan penggunaan siling emas (denarius) and Parsi menggunakan koin perak (drachma) sebagai matawang mereka.
Menurut sejarah, semasa kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w., baginda berterusan menggunakan dua jenis matawang Roman dan Parsi ini dan dikenali sebagai Dinar (emas) dan Dirham (perak).
Selain itu wujud juga matawang jenis lain yang dihasilkan dari tembaga, dan lain-lain barangan bernilai seperti permata dan lain-lain. Sejarah membuktikan, penggunaan emas dan perak sebagai matawang telah diiktiraf oleh Nabi s.a.w dan para sahabat baginda dan telah memainkan peranan yang amat penting sebagai matawang. Sehingga hukum berkaitannya disebut khusus oleh Nabi s.a.w.
Dalam perkembangan sistem ekonomi pelbagai kerajaan di dunia, mereka berterusan menggunakan matawang dari emas dan perak ini sehinggalah ia sedikit diubah bagi menambah kemudahan penggunaannya. Perubahan paling ketara bermula pada tahun 1971.
Apabila melihat kepada fungsi duit, kebanyakan penulis-penulis ekonomi dan kewangan akan menggariskan pengertian berikut :-
#1) Medium of exchange
Perantara kepada urusan jual beli barang dan khidmat. Inilah fungsi duit yang pertama.
Dahulunya, orang menggunakan sistem barter (atau muqayadhah iaitu tukar barang dengan barang), Oleh sebab itu, setiap pembeli dan penjual mesti mencari orang yang boleh bertukar dengannya. Ini amat sukar.
Sebagai contoh Ahmad mempunyai sebuah kereta tetapi berkehendakkan kepada sebuah van. Ali memiliki van dan berkehendakkan kepada sebuah kereta. Bagaimana keduanya boleh bertemu jika kedua-duanya saling tidak mengenali dan berada di kawasan berbeza?.
Sememangnya amat rumit, hasil dari itu wujudlah matawang atau duit. Ia akan berfungsi sebagai perantara kepada hasrat Ahmad dan kehendak Ali. Kedua-dua mereka boleh menjualkan kereta dan van masing-masing dan menerima sejumlah wang dari pembeli masing-masing di kawasan masing-masing. Seterusnya wang yang diperolehi boleh digunakan untuk membeli kereta dan van yang masing-masing inginkan tanpa perlu bertemu.
#2) Store of value
Duit juga berfungsi sebagai pemegang nilai untuk masa akan datang. Untuk itu ia sepatutnya mempunyai nilai tersendiri serta boleh dirujuk dan tidak kerap berubah. Hanya dengan itu, ia memegang nilai untuk beberapa tempoh masa dan boleh pula dirujuk.
Sebagai contoh, emas, kambing dan lain-lain lagi. Namun hari ini, wang kertas telah dibebankan dengan fungsi ini walaupun sebenarnya ia tidak layak.
Sebagai contoh, katakanlah emas satu gram boleh ditukar dengan 20kg beras. Dalam tempoh dua tahun, boleh dirujuk kepada nilai emas satu gram tadi, sama ada ia masih boleh membeli 20 kg beras atau mungkin lebih lagi. Justeru, harga barangan lain boleh dinilai dan disandar kepada nilai emas iaitu duit.
Dalam konteks duit kertas moden hari ini pula, wang berjumlah RM5 pada 1 Julai 2008 boleh membeli sekilo ayam, dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang jumlah yang sama sepatutnya masih boleh membeli kuasa beli yang sama iaitu seklio ayam. Itulah fungsi duit, iaitu mampu mengekalkan nilainya bagi memberikan kuasa beli pada masa akan datang.
#3) Unit of account
Ia diperlukan untuk menentukan dan mengetahui nilai sesuatu barang, agar proses pertukaran hak milik (jual beli) dapat dijalankan dengan berkesan.
Sebagai contoh, sebuah laptop, bagaimana kita ingin menyebut berkenaan nilai dan harganya jikalau terdapat pembeli? Adakah dengan saiznya, beratnya atau apa?
Sudah tentu kita memerlukan satu nilai kira-kira khusus yang boleh difahami oleh pembeli dan juga penjual, maka itulah fungsi duit. Bertindak sebagai unit kira-kira (unit of account), iaitu kita tahu nilai dan harga laptop tadi nya adalah RM 3500. Itulah unit of account.
Untuk memenuhi tiga tujuan dan fungsi duit di atas, ia memerlukan syarat berikut bagi menjadi duit yang berkesan :-
Standardizable - nilainya boleh ditentukan dengan mudah.
Diterima meluas - punyai nilai tersendiri atau hasil penetapan oleh undang-undang.
Divisible - Punyai nilai yang boleh dibahagi-bahagikan untuk proses tukaran.
Mobile - Mudah dibawa ke sana ke mari.
Stable and durable - Stabil dan tidak mudah hancur, musnah dan hilang yang diakibatkan oleh struktur bentuk sendiri, sebagai contoh tidak seperti aiskrim yang boleh cair.
SUMBER - http://www.zaharuddin.net/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=767
No comments:
Post a Comment