Minat atau trend membeli emas khususnya oleh pelabur-pelabur global dijangka terus meningkat pada tahun ini ekoran fungsi komoditi tersebut sebagai penyimpan nilai yang kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda dunia ketika ini.
Sehubungan itu, penganalisis-penganalisis menjangkakan harga emas global pada tahun ini mampu meningkat sehingga mencecah paras AS$1,000 (RM3,267.90) satu troy aun berikutan permintaan yang terus meningkat terhadap komoditi itu.
Berdasarkan harga emas global semasa, harga emas runcit di pasaran tempatan ketika ini adalah pada kira-kira RM92.65 satu gram, dan dijangka naik kepada RM105 satu gram, jika harga emas global melambung ke paras AS$1,000 satu aun troy.
Selain itu, penurunan nilai dolar Amerika Syarikat dan kebimbangan mengenai peningkatan ketara kadar inflasi telah menyebabkan harga emas naik menghampiri paras AS$900 (RM2,941.11) satu aun troy semalam.
Penanda aras, harga emas bagi penghantaran bulan Februari naik AS$1.40 (RM4.60) untuk ditutup pada AS$881.80 (RM2,881.63) satu aun troy, paras tertinggi dalam sejarah di pasaran hadapan New York Merchantile Exchange, semalam. Paras harian tertinggi yang direkodkan adalah AS$894.40 (RM2,922.81) satu aun troy.
Ketika ini, ketidaktentuan ekonomi AS ekoran tekanan kredit daripada masalah gadai janji subprima menjadi penyebab utama berlakunya aliran meningkat harga emas.
Langkah yang diambil AS menurunkan kadar faedahnya sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu sebanyak 50 mata asas kepada paras semasa iaitu 4.25 peratus, telah menjejaskan nilai dolar AS dan apabila nilainya susut, maka sebahagian besar komoditi utama global yang didagang bersandarkan mata wang tersebut akan melambung daripada segi nilainya, justeru menyebabkan tekanan inflasi dunia.
Jika dibanding dengan mata wang utama global, harga emas telah meningkat lebih daripada 150 peratus sejak tahun 2000 berbanding dolar AS, euro, pound sterling dan dolar Kanada.
Keadaan tersebut menggambarkan bahawa masyarakat pelabur global yang bimbang mengenai kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi global telah beralih daripada memegang aset-aset berasaskan mata wang utama global dengan mula membeli emas.
Penganalisis Majlis Emas Sedunia (WGC) yang berpangkalan di Switzerland, Rhona O’Connell berkata, emas merupakan pelaburan paling selamat dalam ketidaktentuan ekonomi global sama ada akibat tekanan kewangan atau peperangan dan berfungsi sebagai pelindung nilai daripada tekanan inflasi.
“ Kebimbangan yang berterusan mengenai peningkatan kadar inflasi dan ketegangan politik serta jangkaan kelemahan nilai dolar AS, harga emas dijangka terus melonjak pada tahun 2008,” kata O’Connell menerusi laporan penyelidikannya, baru-baru ini.
Pakar Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera ketika ditemui baru-baru ini pula berkata, emas merupakan penyimpan nilai kukuh sejak zaman kegemilangan pemerintahan Islam dahulu lagi.
“Kekukuhan nilai emas memang tiada bandingannya. Misalnya, harga 1 dinar emas yang bernilai kira-kira RM50 pada era 1960an dapat membeli seekor kambing pada masa itu, sekarang ini 1 dinar emas telah bernilai kira-kira RM397 dan juga dapat membeli seekor kambing.
“ Berdasarkan contoh ini, ternyata nilai emas adalah kukuh berbanding wang kertas yang meningkat ekoran kenaikan kadar inflasi,” tambahnya.
Oleh demikian, salah satu kaedah terbaik untuk meramal arah ekonomi global adalah dengan melihat pergerakan harga logam tersebut.
Sementara itu, menurut David Ranson yang juga merupakan Penganalisis Komoditi WGC, pergerakan harga emas telah lama dan lebih awal digunakan bagi meramalkan arah aliran inflasi, berbanding harga minyak dan bon.
“Sejak 1990an, kenaikan harga emas bergerak seiring dengan harga minyak serta bon, bagaimanapun pergerakan harga emas selalunya mendahului harga minyak dan bon setahun lebih awal,” tambah beliau.
SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0111&pub=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_05.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment