Wednesday, January 23, 2008

Beli Emas Untuk Pelaburan

BERBICARA mengenai barang kemas, kaum wanita merupakan golongan yang paling gemar membelinya walaupun harga emas semakin meningkat. Tidak dinafikan barang kemas seolah-olah telah menjadi menjadi keperluan kepada kaum Hawa dan juga secara tidak langsung melambangkan kemewahan dan status seseorang.

Bukan setakat masyarakat Melayu yang menggemari barang kemas emas malah ia menjadi hadiah utama pada majlis perkahwinan kaum Cina dan India.

Walaupun pada masa kini ‘kegilaan’ wanita telah beralih pada barangan perhiasan diri seperti kristal dan batu-batu permata, namun masih ramai yang mempercayai keistimewaan emas pada pemakainya.

Menurut Pengurus Operasi Runcit Habib Jewels Sdn. Bhd., Mohd. Zaruddin Mahmud, kenaikan harga emas yang mencecah RM101 bagi satu gram (harga Sabtu lepas) tidak menjejaskan jualan malah jumlah pelanggan yang datang sama seperti semasa harga emas masih murah.

Katanya lagi, harga emas kini merupakan harga yang paling tinggi bagi tempoh 20 tahun dan ia dijangka naik lagi.

‘‘Harga emas akan sentiasa naik walaupun ada ketikanya ia akan turun sedikit tetapi selepas itu akan naik tinggi lagi lebih-lebih lagi menjelang Tahun Baru Cina kerana ramai orang membeli emas,’’ kata Mohd. Zaruddin.

Beliau menambah, kenaikan harga emas berlaku kerana bekalan yang tidak mencukupi, permintaan berlebihan dan juga ketidaktentuan pasaran.

“Ramai yang berasa lebih selamat melabur dalam emas berbanding kewangan kerana harga emas yang sentiasa naik.

‘‘Emas merupakan sejenis logam yang amat sesuai untuk pelaburan dan bagi yang mempunyai wang khususnya wanita adalah lebih baik jika membeli emas pada masa ini dan jangan risau harganya akan turun.

‘‘Sebenarnya kegemaran wanita membeli emas apabila mempunyai wang seperti selepas mendapat bonus, dividen saham dan sebagainya bukan sahaja menguntungkan mereka malah keluarga juga.

‘‘Itu merupakan kelebihan wanita kerana selain membeli emas sebagai perhiasan diri, pada masa sama mereka turut membuat pelaburan dan dapat digunakan semasa susah seperti ketika anak bersekolah atau melanjutkan pelajaran ke universiti,’’ jelas Mohd. Zaruddin lagi.

Beliau menambah, orang Melayu merupakan golongan yang banyak membeli emas untuk dipakai sendiri, sementara kaum Cina lebih suka membeli dalam bentuk jongkong emas untuk pelaburan.

‘‘Orang Melayu sudah mula memahami dan menyedari mengenai kelebihan dalam pelaburan emas sejak dua atau tiga tahun lepas. Bagi yang hendak membeli dalam bentuk jongkong emas, beli daripada jauhari yang bertauliah bagi mengelakkan daripada ditipu.

‘‘Terdapat jongkong emas dengan berat 10 gram, 50 gram, 100 gram dan 500 gram. Jongkong yang terlalu tebal mungkin mengandungi kurang kandungan emas 916.

‘‘Jongkong emas yang popular adalah emas 916 dan 999 dan cuma harga emas sahaja yang dikira tanpa upah. Keuntungan boleh dilihat apabila jongkong dijual ketika harga emas naik,’’ katanya.

Wanita jelasnya, harus mempunyai pengetahuan untuk mengambil peluang pada harga emas kini bagi membeli emas kerana belian emas yang dibuat pada tahun ini adalah menguntungkan.

‘‘Begitu juga dengan lelaki Melayu, jika dua, tiga tahun dulu mereka suka berbelanja mewah dengan membeli kereta besar, menambah aksesori kereta atau membeli set barangan elektrik yang mahal tetapi kini sudah mula pandai membeli emas,’’ ujarnya.

Beliau berkata, pembelian emas yang dilakukan dalam negeri dapat membantu pembangunan kerana aliran wang berlaku dalam negara kita sahaja.

Menurutnya, di Habib bukan sahaja menjual emas tetapi membeli semula emas lama untuk dileburkan.

Rakyat Malaysia mempunyai banyak emas yang tersimpan dan sebenarnya tidak perlu kita membeli emas dari negara luar seperti Eropah, Afrika Selatan, Indonesia dan sebagainya.

‘‘Habib membeli emas lama pada harga yang lebih tinggi daripada pajak gadai selain trade-in yang cuma ditolak 15 peratus sahaja.

“Jadi mereka yang mempunyai emas lama dan tidak dipakai, janganlah disimpan sahaja. Jual pada yang bertauliah dan emas lama itu akan dilebur dan direka semula dengan rekaan moden. Sekarang mungkin tempoh terbaik kerana kadar harga emas yang tinggi,’’ kata Mohd. Zaruddin.

Sementara itu, menurut Mohd. Zaruddin, Habib akan mengadakan Pesta Emas pada 22 Februari hingga 2 Mac depan dan banyak koleksi terbaru 2008 akan dijual sempena menyambut ulang tahun Habib yang ke-50.

‘‘Banyak koleksi terbaru khusus untuk remaja yang dibuat daripada emas kuning boleh dibeli kerana Habib mahu menggalakkan remaja untuk membeli dan memakai emas kuning yang boleh dijadikan pelaburan masa depan,” katanya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0123&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_02.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...