Thursday, January 10, 2008

Harga Emas Catat Rekod AS$891.90 Satu Aun

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Harga emas melonjak ke paras tertinggi di dagangan Asia hari ini menghampiri paras AS$900 (RM2,946.61) satu aun troy, berikutan kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan lantunan semula harga minyak mentah global.

Harga emas dalam dagangan Asia di Hong Kong dibuka pada paras AS$887.60 (RM2,906) satu aun troy pada pagi ini dan melonjak ke paras AS$891.90 (RM2,920.10), satu aun troy pada pukul 4 petang ini waktu Malaysia.

Paras tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun, mengatasi paras rekod yang dicatat sebelum ini iaitu AS$868.89 (RM2,844.75) satu aun troy pada Khamis lalu.

Harga tertinggi komoditi tersebut kali terakhir dicatat pada tahun 1980, apabila harga emas global merekod AS$850 satu aun troy, berikutan kegawatan ekonomi AS.

Peniaga berkata, kelemahan nilai dolar AS, dan kenaikan harga minyak dunia merupakan punca utama lonjakan harga emas ke paras rekod.

Pada masa ini pelabur menganggap emas sebagai pelaburan yang selamat dalam situasi peningkatan kadar inflasi, berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia yang kini kekal di atas paras AS$95 (RM311.03) setong, ekoran penyusutan jumlah simpanan minyak AS, yang merupakan pengguna minyak terbesar dunia.

Penurunan nilai dolar AS menjadikan emas lebih menarik di kalangan pembeli yang menggunakan mata wang lain yang lebih kukuh.

Jangkaan ekonomi AS bakal mengalami kemelesetan ekoran krisis gadai janji subprima telah mendorong pelabur menjual aset berasaskan dolar AS dan membeli emas yang dianggap lebih selamat dalam ketidaktentuan ekonomi global sekarang.

Sejak 1979 harga emas telah meningkat lebih daripada 31 peratus sehingga tahun lalu.

– Agensi

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...