Monday, January 14, 2008

Harga Emas Lepasi AS$900

PARIS 13 Jan. – Harga emas terus meningkat melepasi paras rekod ekoran aktiviti pembelian berterusan oleh pelabur untuk berlindung daripada kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat, kenaikan inflasi dan tekanan kredit global.

Harga emas buat kali pertama melonjak melepasi paras AS$900 (RM2,933) satu aun troy di pasaran New York pada Jumaat lalu.

Harga komoditi itu di pasaran hadapan mencecah paras rekod tertinggi dalam sejarah iaitu AS$900.10 (RM2,933.33) satu aun troy selepas melambung tinggi di dalam urus niaga di London.

Kenaikan mendadak harga emas kali terakhir berlaku adalah di era 1970-an, di mana ekonomi global mengalami kemelesetan, di samping berlaku kejutan peningkatan harga minyak pada tahun 1973 dan 1979, lonjakan kadar inflasi dan keraguan mengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi AS yang merupakan kuasa

Lanjutan daripada itu, para pelabur berebut membeli logam-logam berharga, justeru menolak naik harga emas melepasi paras tertinggi AS$850 (RM2,770.06) satu aun troy yang direkodkan pada tahun 1980.

Namun begitu, setelah ekonomi AS dan Eropah kembali pulih selepas itu, harga emas telah kembali stabil.

Punca utama kenaikan harga emas ketika ini disebabkan oleh kelemahan nilai dolar AS, yang mana membolehkan para pemegang mata wang kukuh lain membeli emas berikutan jangkaan kenaikan kadar inflasi yang akan menjejaskan pulangan deposit simpanan dan perbankan.

– AFP

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_07.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...