KUALA LUMPUR 10 Mei - Selepas emas hitam - minyak - berada di paras harga tertinggi dalam sejarah, kini emas tulin pula turut melonjakkan harganya melepasi AS$700 atau RM2,507.86 seauns.
Harga logam itu adalah yang tertinggi dalam tempoh 25 tahun.
Semuanya gara-gara kerana pasaran dunia bimbang kepada krisis nuklear Iran.
Emas yang diniagakan di New York, mencapai AS$701.50 seauns, paras tertinggi sejak bulan Oktober 1980 manakala di London, mencecah AS$700.80 seauns buat kali pertama sejak bulan September 1980, demikian menurut laporan agensi berita asing.
Urusniaga di kedua-dua bursa itu adalah penanda aras kepada harga emas sejagat.
Harga emas meningkat sekitar 35 peratus tahun ini apabila para pelabur mengalihkan kepada emas untuk melindungi nilai pelaburan mereka berikutan ketidaktentuan pasaran dunia akibat isu nuklear Iran, kenaikan harga bahan api dan ketidaktentuan masa depan dolar.
Harga emas mencapai paras tertinggi dalam sejarah apabila mencecah AS$850 seauns pada Januari 1980.
Ukuran
Di Malaysia, pengurus sebuah syarikat emas terkemuka yang enggan dinamakan berkata, harga logam berkenaan di negara ini, dijangka meningkat sebanyak RM100 segram dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.
Harga segram emas, ukuran yang digunakan di Malaysia, kini adalah di antara RM75 hingga RM80 untuk emas jenis 196 dan 22 karat.
Beliau optimis harga emas boleh melambung lebih daripada jangkaan sekiranya mata wang dolar terus susut.
``Pada masa itu, orang ramai akan membeli lebih banyak kerana kurang yakin terhadap nilai wang berbanding emas.
``Tetapi sekiranya dolar Amerika meningkat, harga emas akan jatuh,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan harga emas dunia akan menyaksikan pengguna menjual barang kemas untuk mendapat faedah daripada kenaikan itu.
``Harga barang kemas terpakai bergantung kepada pasaran semasa,'' tambah beliau.
SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm
No comments:
Post a Comment