Tuesday, January 31, 2012

Garis Panduan Pelaburan Emas Perlu Dikeluarkan

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kerajaan digesa mengeluarkan satu garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.

Garis panduan yang dikeluarkan itu juga perlu disusuli dengan penubuhan sebuah badan penyelia yang memantau perjalanan pelaburan tersebut seperti dilakukan Suruhanjaya Sekuriti terhadap institusi pasaran saham.

Pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, garis panduan tersebut penting memandangkan jumlah orang ramai yang terpancing dengan tarikan keuntungan lumayan pelaburan itu kian meningkat.

"Turut perlu ditekankan pada garis panduan tersebut adalah jenis kualiti emas yang sesuai dijadikan pelaburan berbanding emas bagi tujuan pengeluaran barang kemas dan kosmetik.

"Meskipun pelaburan sebegini dikatakan menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram, namun terdapat juga pihak yang akan menangguk di air keruh.

"Tabiat masyarakat kita yang hanya mahu keuntungan jangka masa pendek juga menjadi faktor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas rintihan seorang pengadu dikenali Tsuri di dalam ruangan forum Utusan Malaysia hari ini yang merasakan dirinya tertipu selepas cuba menjual semula ketulan emas miliknya di sebuah kedai, namun ia hanya bernilai RM15,400 untuk 100 gram berbanding harga pasaran semasa iaitu RM19,800.

Abdul Rahim menjelaskan, pelaburan jongkong emas bukan sebuah pelaburan jangka masa singkat dan pelabur perlu menunggu sehingga satu masa sesuai bagi menikmati keuntungannya.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, buat masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengawal pelaburan jongkong emas.

Katanya, kewujudan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan pengguna di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 sudah memadai untuk tujuan tersebut.

"Saya bersetuju pelaburan jenis ini terdedah dengan kes penipuan dan kekeliruan, namun tidak perlulah menubuhkan sebuah badan pemantau mahupun satu set garis panduan lain.

"Cuma pelabur emas perlu berusaha mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar pihak berpengalaman dan profesional dari dalam atau luar lingkaran sosial mereka bagi mengelakkan kesilapan atau kekeliruan," katanya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

Monday, January 30, 2012

Pelaburan Dalam Jongkong Emas Merugikan?

SAYA ialah antara mereka yang memilih untuk melabur dalam jongkong emas melalui pembelian emas tulen 999.99.

Atas nasihat seorang kawan, saya bersetuju dengan harapan membuat pelaburan dalam emas tulen sebegini menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas dikatakan terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram.

Selain daripada tidak banyak maklumat yang diketahui dalam perkara jual beli jongkong emas, saya juga termakan dengan pemikiran bahawa tidak ramai orang Melayu melabur dalam jongkong emas kerana orang Melayu lebih berminat membeli barang kemas yang diperbuat daripada emas seperti emas 916 misalnya.

Isunya di sini yang menimbulkan persoalan dan kejutan kepada saya ialah ketika saya ke tempat 'A' untuk menjual balik ketulan emas di sana iaitu sebuah kedai emas terkemuka yang tidak perlu disebutkan nama demi menjaga reputasinya.

Saya terkedu apabila pekerja yang berurusan dengan saya menyatakan harga bagi jual balik adalah RM15,400 untuk 100 gram emas.

Sementara itu, harga untuk membeli pula adalah RM18,000 untuk 100 gram sedangkan pada masa itu harga emas di pasaran semasa adalah RM19,800.

Ekoran peristiwa ini saya rasa seperti ditipu dan sangat terkilan kerana untung lumayan dibayangkan tersasar jauh. Sebaliknya, kerugian yang bakal ditanggung jika saya meneruskan niat untuk menjual emas pada hari itu.

Melalui ruangan ini, saya berharap pihak berwajib seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara serta pihak berkuasa lain dapat memberi penjelasan dan garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Tuesday, January 24, 2012

Poh Kong unjur RM1b jualan

PETALING JAYA 23 Jan. - Poh Koh Holdings Bhd. (Poh Kong) berupaya mencatatkan jualan mencecah RM1 bilion dalam beberapa tahun akan datang, jika trend kenaikan harga emas terus berpanjangan.

Penyelia Kewangannya, Koh Sze Haw berkata, keadaan itu boleh digambarkan menerusi prestasi kewangan suku pertama syarikat yang berakhir 31 Oktober 2011 lalu, di mana Poh Kong mencatatkan jualan sebanyak RM230 juta berbanding RM169 juta pada tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada harga komoditi itu di pasaran antarabangsa untuk jangka panjang. Sukar bagi kami meletakkan sebarang sasaran.

"Prestasi jualan ini juga bergantung kepada permintaan semasa serta promosi yang dijalankan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Katanya, harga emas juga tidak berterusan meningkat apabila harganya ketika ini sedikit menurun kepada AS$1,600 (RM4,800) seaun berbanding AS$1,900 (RM5,700) seaun pada 5 September 2011.

Satu aun bersamaan 28.35 gram emas.

Jika dibanding dalam tempoh lima tahun lalu, harga emas berada di sekitar AS$750 (RM2,250) seaun manakala sedekad lalu harga komoditi itu bernilai AS$320 (RM960) seaun.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Poh Kong, Datuk Eddie Choon berkata, harga emas tahun ini mampu berada paras yang tinggi jika ketidakstabilan politik di negara-negara Arab berterusan.

"Jika konflik akibat sekatan perdagangan ke atas Iran berterusan, ia mampu mendorong kepada kenaikan harga emas sehingga 30 peratus lagi," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh apabila berlakunya kekacauan di rantau Arab pada pertengahan tahun lalu, ia telah mendorong kenaikan harga emas dunia.

Tambah beliau lagi, pihaknya mempunyai kelebihan apabila ada antara produk emasnya itu diperoleh ketika harga masih rendah tetapi dijual mengikut harga pasaran.

Malah katanya, penstrukturan semula beberapa anak syarikat Poh Kong ketika ini juga mampu memberi kesan terhadap operasi syarikat untuk jangka panjang.

"Gaya hidup masyarakat negara ini yang mula mementingkan penampilan juga mendorong kepada peningkatan hasil jualan kami. Di tambah pula ada di kalangan mereka yang melihat emas sebagai alat pelaburan jangka panjang," katanya.

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Julai 2011, syarikat itu merekodkan hasil jualan sebanyak RM692.4 juta iaitu peningkatan 23.4 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_04.htm

Wednesday, January 11, 2012

Bagaimana Harga Emas Harian Dibuka?

Harga emas dibuka dan ditetapkan di pasaran London oleh lima anggota Pasaran Emas London (London Gold Market). Mereka terdiri daripada penjual emas dan bank tertua, paling berpengaruh dan terbesar dunia iaitu: Barclays Capital, Societe General, HSBC Bank, Scotia Mocatta dan Deutsche Bank.

Mereka berlima akan menetapkan harga emas sebanyak 2 kali sehari iaitu A.M fix ( 10.30 pagi waktu London)  dan P.M fix (selepas lunch).



Lima anggota ini akan menilai maklumat permintaan dan penawaran emas pada hari tersebut dan akan menetapkan harga pada hari tersebut.

Jika maklumat menunjukkan permintaan melebihi jualan, maka harga emas akan ditetapkan lebih tinggi. Jika permintaan kurang berbanding penawaran, maka harga emas akan diturunkan.


SUMBER - http://jutawanemas.com/v1/gold-article/faktor-yang-mempengaruhi-harga-emas-dunia/

Emas Terus Jadi Buruan Pelabur

PETALING JAYA 10 Jan. - Pengukuhan harga emas yang dilihat sebagai alat pelaburan jangka panjang, semakin menarik orang ramai membelinya sekali gus menawarkan prospek jualan yang baik.

Pengerusi Eksekutif Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon berkata, bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Julai 2011, syarikat telah mencatatkan jualan sebanyak RM692.4 juta, bertambah 23.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Malah, beliau juga menjangkakan prestasi yang sama mampu dicapai pada tahun kewangan semasa, berdasarkan pengukuhan harga emas dan permintaannya.

"Harga emas yang semakin meningkat tidak bererti permintaan akan jatuh, sebaliknya kadar jualannya lebih tinggi kerana mahu dijadikan sebagai alat pelaburan," katanya selepas mesyuarat agung tahunannya, di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Julai 2011, Poh Kong merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM57.7 juta.

Katanya, harga emas dijangka terus kukuh tahun ini kerana dipengaruhi oleh ketidakstabilan di Timur Tengah seperti mana yang berlaku pada pertengahan tahun lalu.

"Tahun lalu, harga emas melonjak akibat ketidakstabilan politik di rantau Arab dan tertinggi direkodkan mencecah sehingga AS$1,900 seaun pada 5 September 2011," kata beliau.

Pada masa ini, harga emas dunia diniagakan pada paras sekitar AS$1,600 seaun (RM5,000).

Choon berkata, dalam usaha meningkatkan jualannya, Poh Kong akan membuka rangkaiannya yang ke-101 di Ipoh, Perak Mac ini.

Beliau berkata, pada setiap tahun, syarikat itu akan menambah tiga hingga lima rangkaian baharu melibatkan kos setiap sebuah sebanyak RM5 juta, bergantung kepada keluasannya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Tuesday, January 10, 2012

Faktor Yang Mempengaruhi Harga Emas

Faktor utama yang mempengaruhi harga emas sedunia ialah jumlah permintaan dan penawaran di dalam pasaran emas. Biasanya urusan permintaan dan penawaran ini berlaku tanpa kita sedari kerana ia berlaku di antara pembekal dan pembeli yang besar.



PERMINTAAN

Permintaan pasaran terhadap emas terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:
1. Untuk kegunaan industri
2. Untuk kegunaan pelaburan
3. Permintaan daripada bank-bank negara sebagai rizab negara
4. Permintaan untuk kegunaan sebagai barang kemas
5. Lain-lain kegunaan



PENAWARAN

Penawaran emas di dalam pasaran pula datangnya daripada:
1. Lombong emas di seluruh dunia
2. Penjualan rizab emas oleh bank pusat
3. Emas terpakai yang digunakan semula



Jadi, perbezaan di antara penawaran dan permintaan emas inilah yang akan menentukan turun-naiknya harga emas di dalam pasaran dunia. Di pasaran inilah aktiviti belian dan jualan emas secara besar-besaran berlaku.



Dengan kata lain setiap masa akan ada pasaran emas yang akan dibuka dan ditutup. Inilah yang menyebabkan kita dapat lihat pergerakan harga emas setiap minit dan saat di kitco.com


SUMBER - http://jutawanemas.com/v1/gold-article/faktor-yang-mempengaruhi-harga-emas-dunia/

Kampung Melayu Majidee lombong emas?

JOHOR BAHRU 9 Jan. – Kampung Melayu Majidee di sini menjadi tumpuan orang ramai sejak seminggu lalu selepas kawasan lapang di Jalam Mewah kampung berkenaan dipenuhi batu yang didakwa bersalut emas.

Sebahagian penduduk sibuk mendulang emas di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.

Batu bersalut emas itu mula disedari penduduk setempat selepas kerja-kerja menambak batu dijalankan di kawasan lapang berkenaan ketika aktiviti gotong-rotong, baru-baru ini.

Seorang penduduk, Sapiah Abd. Samad, 66, berkata, orang ramai mula menyedari terdapat batu di kawasan tersebut berkilau terutamanya pada waktu malam.

Menurutnya, sejak itu orang ramai termasuk penduduk dari luar daerah ini datang ke kawasan berkenaan untuk mendulang emas.

“Bukan sahaja waktu pagi, malah orang ramai turut mendulang pada waktu malam kerana kilauan emas itu lebih jelas ketika gelap.

“Dianggarkan lebih 100 orang datang mendulang dari awal Subuh hingga lewat malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sapiah memberitahu, penemuan emas itu adalah yang pertama sejak mereka sekeluarga menetap di kampung tersebut sejak 21 tahun lalu.

Sementara itu, juruteknik elektrik dari Tampoi, Mohd. Fazli Ahmad, 31, berkata, dia yang turut sama mendulang emas berjaya memperoleh beberapa ketul batu yang disaluti bahan dipercayai emas itu.

“Mula-mula sukar nak percaya, namun apabila saya beritahu seorang rakan yang mahir tentang emas dia mengatakan itu mungkin emas.

“Emas jenis apa saya sendiri tidak tahu kerana emas pun banyak jenis dan kualitinya,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati orang ramai sibuk mendulang meskipun hujan pada sebelah petang.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...