Tuesday, July 27, 2010

Lebih Mahal Disimpan Lama

DI SEBALIK bangunan tiga tingkat yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya sebenarnya tersimpan ragam kesibukan aktiviti jual beli emas.


Menariknya, situasi itu bukannya menyaksikan jual beli barang kemas seperti gelang tangan, rantai atau anting-anting.

Sebaliknya, mereka menjalankan proses mendapatkan kepingan kilauan emas tulen berharga.

Bagaimanapun, premis yang terletak di tingkat tiga itu tidak sewenang-wenangnya dikunjungi. Anda perlu membuat temu janji khas dengan kaki tangan Public Gold supaya pagar besi utama akan dibuka.

"Sebagai langkah keselamatan, tempat kami mempunyai pengawasan yang ketat. Mereka yang ingin mendapatkan kepingan emas perlu berhadapan dengan tiga rintangan pagar besi yang dibuka secara automatik.

"Di Public Gold, mereka boleh melihat skrin paparan harga emas dunia sebagai petunjuk untuk membeli atau menjual," terang Eksekutif Pemasaran Public Fine Gold International Sdn. Bhd., Wilson Tan.

Bercerita mengenai kehebatan emas, masyarakat masa kini mula membuka minda untuk membuat pelaburan baru. Tidak lagi memfokuskan kepada penyimpanan wang semata-mata, trend pembelian kepingan emas kian popular dan mendapat sambutan.

Bahkan segelintir bakal pengantin turut memilih dinar emas sebagai hantaran mas kahwin kerana barangan berharga itu merupakan komoditi yang mempunyai nilai yang tinggi.

Meskipun tertanam beribu-ribu tahun, emas tetap berkilau dan merupakan aset paling bernilai. Emas boleh dibeli sama ada dalam bentuk syiling atau keping dari bank-bank perdagangan.

Selain itu, perbezaan yang dinilai di antara pelaburan ketulan emas dan barang kemas ialah dari segi tawaran peratusan.

"Emas keping dan emas syiling lebih tinggi nilainya iaitu 999.9 peratus berbanding emas yang telah dilebur untuk dijadikan barang kemas pula 91.6 peratus," beritahunya.

KETULENAN emas boleh diuji sebelum bersetuju untuk membeli.

Sementara itu, Pengedar Utama Public Gold, Syukor Hashim menjelaskan, Public Gold yang mendapat kelulusan dari Bank Negara menawarkan perkhidmatan jual beli emas 999.9 atau 24 karat untuk pelaburan yang selamat dan murah.

Dari segi kiraan nilai pula, Public Gold menawarkan empat produk kepingan emas 20 gram (g), 50 g, 100 g dan satu kilogram (kg).

"Harga yang dinyatakan setiap gram adalah dalam ringgit. Harganya juga sentiasa berubah-ubah, jadi mereka yang berminat lazimnya akan sentiasa memantau harga dunia.

"Orang ramai diberi kebebasan untuk membeli seberapa banyak ketulan emas bergantung kepada kemampuan masing-masing," terangnya.

Menceritakan pengalamannya menjalankan jual beli emas sepenuh masa, Syukor mendapat pendedahan awal menerusi program The Truth Revealed: Dinar and Dirham The Real True Money sejak dua tahun lalu.

Konsep kekayaan

Bermula dari situ, dia mula mengerti mengenai konsep wang dan kekayaan sebenar. Syukur banyak membuat kajian melalui pembacaan dan rujukan.

"Saya menyedari bahawa kekayaan yang sebenar bukanlah terletak pada wang kertas. Tetapi emas, perak, hartanah, ternakan dan tanam-tanaman.

"Wang kertas boleh dimanipulasikan dan boleh dicetak sebanyak mungkin sekali gus nilainya akan hilang," terangnya bersungguh-sungguh.

Bagi salah seorang kakitangan swasta, Ahmad Fithrie Ahmad Tajalie, 31, pelaburan pertama yang dikeluarkannya tahun lalu sejumlah RM38,000 untuk memiliki beberapa ketulan emas peribadi.

Disebabkan emas mempunyai nilai tinggi, dia lebih berminat untuk menambah koleksi ketulan emas untuk simpanan masa hadapan.

"Kepuasan memiliki dan menyentuh sendiri ketulan emas memang tidak dapat digambarkan. Itu yang membuatkan saya lebih berminat untuk mengumpulnya.

"Petuanya ialah bila sudah beli emas, simpan sahaja emas itu tetapi bila memerlukan dana kewangan barulah ia dijual. Lebih bagus jika ia dijual ketika harganya tinggi. Semakin lama emas itu disimpan, harganya juga semakin mahal," jelasnya.

EMAS Public Gold memaparkan cap mohor syarikat terbabit.

Seperti yang diperuntukkan oleh hukum syarak, mas kahwin merupakan pemberian wajib daripada seorang lelaki kepada bakal isterinya. Ia boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan kemampuan pasangan terbabit.

Lazimannya mas kahwin disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin atau gelang tangan. Namun, kini syiling dinar emas telah mendapat sambutan menggalakkan sebagai mas kahwin untuk majlis perkahwinan.

Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerima persetujuan menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh.

Mas kahwin

Dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah dan cetakan ayat suci al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia berasaskan agama.

Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pada bulan September tahun lalu, Wan Azmir Wan Mohamad dan Nadiah Abd. Rahman turut menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin mereka.

Masing-masing yang berusia 27 tahun menyifatkan, keputusan untuk menggunakan dinar emas kerana ingin mengembalikan tradisi masyarakat Islam yang sekian lama ditinggalkan.

"Pengetahuan penggunaan dinar emas ini dibuat setelah saya membuat sedikit rujukan pembacaan mengenainya. Dari situ saya dapati dinar emas mempunyai nilai yang semakin meningkat.

"Malah bentuknya yang cukup unik dan dinar emas juga cantik untuk disimpan. Berbeza dengan wang simpanan wang, ia mungkin tidak akan kekal lama," jelas Wan Azmir Wan Mohamad yang menyempurnakan mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram (22 karat) bernilai RM502 (kini bernilai RM570 tertakluk pada harga semasa).

NADIAH menerima hantaran mas kahwin dinar emas daripada suaminya, Wan Azmir.

Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid berkata, dinar emas digunakan sebagai alat pertukaran mata wang paling selamat sekiranya berlaku ketidakstabilan politik dan pasaran. Dinar emas mempunyai nilai yang tetap dan boleh dijadikan simpanan tanpa memikirkan kehilangan nilai dan kuasa beli seperti wang kertas.

Pelaksanaan secara konkrit dengan susulan cadangan yang lebih serius perlu dijalankan supaya negara dapat menggunakan dinar emas dengan lebih menyeluruh.

"Skop penggunaan dinar emas sebenarnya amat luas kerana ada yang gemar menjadikan dinar emas sebagai koleksi aset yang kalis inflasi. Dinar emas berbentuk syiling juga sebagai medium pertukaran yang sah. Tetapi sejauh manakah masyarakat kita berminat menggunakannya seperti yang disarankan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

SUMBER - http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Saturday, May 1, 2010

2010: Harga Emas Dijangka RM4,160 Satu Aun

KUALA LUMPUR 30 April - Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFHMB) yang menyediakan produk emas melalui KFH Gold Account-i, optimis bahawa harga emas akan meningkat sehingga AS$1,300 (RM4,160) satu aun pada tahun ini.

Ramalan itu dilakukan oleh penasihat barangan logam dunia, GFMS Ltd.

Pengerusi KFHMB, Shaheen Al-Ghanem berkata, para pelabur yang membeli dan memiliki emas dijangka memperoleh faedah daripadanya sebagai simpanan jangka panjang.

Malah, katanya, sambutan memberangsangkan ditunjukkan oleh para pelanggan KFHMB dengan membeli emas di bawah akaun KFH Gold Account-i sejak ia diperkenalkan Februari lalu.

''Ia merupakan bukti bahawa emas berupakan bahan logam berharga yang sentiasa mendapat permintaan tinggi,'' katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran KFH Gold Account-i di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif KFHMB, Jamelah Jamaluddin, Ketua Peruncitan dan Perbankan Penggunanya, Attar Salleh dan Ketua Bahagian Perbendaharaan dan Perniagaan Antarabangsa KFHMB, Mohamed Iqbal Jr.

Sementara itu, Shaheen menambah, produk emas yang diperkenalkan pihaknya menunjukkan komitmen bank untuk membangunkan lebih banyak penyelesaian kewangan Islam berinovatif untuk para pelanggan.

Sejak KFHMB memulakan operasi pada 8 Ogos 2005, katanya, bank tersebut telah menawarkan 85 produk yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, semuanya berlandaskan konsep pematuhan syariah.

Selain itu, jelas Shaheen lagi, bahagian perbendaharaan KFHMB telah memajukan perniagaan dagangan emas untuk bank sejak 2007.

Katanya, pasukan di bahagian itu kini telah menikmati hasilnya setelah mengambil masa selama tiga tahun melakukan penyelidikan, mempertimbangkan dan kelulusan produk emas tersebut.

''Bahagian perbendaharaan KFHMB turut mengambil maklumat dan panduan daripada salah sebuah syarikat dalam Kumpulan, Kuveyt Turk Participation Bank yang mempunyai pengalaman luas dalam urusan perniagaan emas,'' ujarnya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Tuesday, February 9, 2010

Sindiket pelaburan emas: 60 individu dakwa rugi RM25j

PULAU PINANG 9 Feb. – Seramai 60 individu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25 juta sejak tahun lepas selepas terpedaya dengan pulangan keuntungan segera melalui skim pelaburan emas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, ACP Roslee Chik berkata, setakat ini, polis menerima 30 laporan yang dibuat oleh pelabur yang mendakwa diperdaya sindiket itu.

"Modus operandi syarikat itu adalah menjual jongkong emas seberat sekilogram dengan harga pasaran antara RM135,000 hingga RM150,000.

"Apa yang menarik syarikat itu turut menawarkan pulangan tiga peratus daripada harga emas kepada pembeli bagi setiap bulan dalam tempoh tiga bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Roslee berkata, syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang itu membayar dividen tiga peratus berkenaan pada bulan pertama dan kedua sebelum menawarkan untuk membeli semula jongkong emas terbabit pada bulan ketiga.

"Apabila pembeli bersetuju untuk menjual semula dan telah menyerahkan emas berkenaan, wakil syarikat terbabit melarikan diri bersama emas tanpa membuat sebarang bayaran,” katanya.

Roslee berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menguruskan urusan jual beli emas.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah menahan tiga lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan dan sedang mengesan 10 lagi bagi membantu siasatan kes itu. – Bernama

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_22.htm

Monday, January 11, 2010

Pelaburan emas meningkat - Maybank

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Malayan Banking Bhd. (Maybank), bank perdagangan terbesar di Malaysia, menjangkakan minat untuk melabur dalam emas di negara ini akan meningkat lagi berikutan terdapatnya aliran kenaikan dalam harga logam berkenaan di pasaran dunia.

Naib Presiden Eksekutif Kanan, Ketua Perbankan Konsumernya, Lim Hong Tat berkata: ''Harga emas berada dalam aliran menaik dan kami melihat terdapat minat yang tinggi dalam buku akaun simpanan emas (GSPA),

''Prospek pertumbuhannya akan bergantung bagaimana pelanggan melihat pergerakan harga dalam keadaan pasaran semasa.

''Bagaimanapun, kami mendapati sejak setahun lalu, sejak November 2008 hingga November 2009, bilangan akaun GSPA yang dibuka telah berkembang sebanyak 147 peratus membayangkan keyakinan pelanggan menjadikan emas sebagai satu bentuk pelaburan," kata Hong Tat dalam temu bual bertulis dengan Utusan Malaysia di sini.

Maybank telah memperkenalkan GSPA pada tahun 1997 selari dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi urus niaga emas. Bank itu, pada tahun 2001 telah dilantik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjual syiling emas dikenali Kijang Emas, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Difahamkan, keadaan ekonomi dunia yang tidak menggalakkan telah menyebabkan kebanyakan pelabur kini beralih daripada pasaran ekuiti kepada pelaburan emas yang dilihat sebagai pilihan lebih selamat.

Berikut adalah temu bual tersebut:

Sejauh mana tahap minat terhadap pelaburan emas setakat ini?

Kami melihat terdapat peningkatan sejak beberapa bulan yang lalu dalam pelaburan berkenaan. Para pelanggan kini semakin berpengetahuan dalam membuat pemilihan pelaburan Kami menyaksikan pertambahan dalam pembukaan akaun GSPA pada setiap bulan dengan bilangan akaun baru berkembang pada purata 12.3 peratus.

Apakah yang menyumbang kepada peningkatan itu?

Pada mulanya melabur dalam emas melalui buku simpanan, duit syiling, kepingan emas dan barang kemas menjadi sesuatu yang baru tetapi kempen besar-besaran, kesedaran orang ramai dan pengguna mulai melihat faedah melabur emas terutamanya melalui GSPA selain duit syiling.

Sebagai contohnya, GSPA menawarkan jaminan keselamatan dan kaedah selamat dalam melabur emas apabila pelanggan boleh membeli logam berkenaan berdasarkan jumlah yang diinginkan tanpa perlu menanggung risiko menyimpannya secara fizikal. Tambahan pula, emas yang dipasarkan melalui GSPA dan Kijang Emas mempunyai ketulenan sehingga 999.9 peratus.

Bagaimana tahap perkembangan GSPA sekarang?

Sehingga November 2009, jumlah akaun GSPA adalah 11,800,658 dengan nilai sehingga lebih RM122 juta.

Apakah strategi yang diambil oleh Maybank untuk meningkatkan kesedaran dalam pelaburan emas?

GSPA kini boleh dibuka di kesemua cawangan Maybank di seluruh negara manakala Kijang Emas pula ditawarkan di 30 buah cawangan terpilih, sesetengahnya di kawasan bandar selari dengan permintaan.

Kami telah melaksanakan promosi pemasaran termasuk melalui perbankan Internet di www.maybank2u.com selain maklumat boleh diperoleh daripada kesemua cawangan Maybank dan pengiklanan dalam akhbar-akhbar.

Dalam pelancaran pelan deposit jaminan modal terbaru iaitu 1Malaysia Momentum Structured Deposit, emas menjadi aset sandaran bagi mendapatkan potensi produk berkenaan.

Sejauh mana minat yang ditunjukkan terhadap Kijang Emas?

Sejak lima bulan yang lalu kami menyaksikan peningkatan dalam pembelian Kijang Emas. Dalam tempoh berkenaan, purata pertumbuhan bulanan adalah 102 peratus. Jualan pada November tahun ini meningkat lebih 500 peratus berbanding Jun 2009.

Siapakah pelabur GSPA dan Kijang Emas?

Pelanggan kami bagi produk ini terdiri daripada golongan mewah dan individu yang kaya. Kebanyakan mereka berusia lebih 41 tahun dengan kaum Cina mewakili 56 peratus daripada jumlah pelanggan.

Bagaimanakah para pelabur dimaklumkan tentang pelaburan mereka dan bilakah masa yang sesuai untuk membeli dan menjual emas?

Maklumat tentang GSPA dan Kijang Emas boleh diperoleh di cawangan-cawangan Maybank. Harga emas juga boleh diketahui dengan melayari laman web www.maybank 2u.com di mana maklumannya dikemas kini dua kali sehari .

Bagaimanapun tiada tempoh masa yang boleh dianggap sebagai ideal untuk jual beli emas. Harga emas ditentukan oleh kuasa pasaran, pelaburan ini memerlukan pelanggan mengkaji aliran harga emas dan harus bersedia menanggung risiko sekiranya harga turun dan naik. Pelanggan perlu membuat keputusan pelaburan berdasarkan strategi pelaburan mereka.

Apakah faedahnya membeli emas melalui GSPA dan Kijang Emas?

Setiap produk mempunyai kelebihannya yang tersendiri. GSPA merupakan pelaburan emas menggunakan buku akaun simpanan. Tiada pegangan emas secara fizikal dalam urus niaga ini kecuali di atas permintaan pelanggan.

Pelanggan GSPA mempunyai opsyen untuk menukar akaun pegangan dalam buku simpanan atau (paper gold) kepada memegang emas secara fizikal. Akaun GSPA menawarkan pelaburan emas dalam kadar 10 gram, 20 gram dan 50 gram.

Berbeza dengan GSPA, urus niaga Kijang Emas dibuat berdasarkan kiraan auns yang merupakan sebut harga standard. Kijang Emas merupakan produk BNM, jadi ia memberikan keyakinan kepada pelanggan tentang nilai dan ketulenannya sebagai satu pilihan pelaburan.

Apakah perbezaannya dengan pelaburan emas yang dibeli melalui kedai emas?

Emas yang dibeli daripada kedai-kedai emas adalah tertakluk kepada kos hasil kerja tangan berkemahiran tinggi. Emas yang dibeli itu lebih untuk tujuan perhiasan berbanding pelaburan.

Tebaran had belian dan jualan juga luas. Bagi mereka yang serius untuk melabur dalam emas, mereka akan melabur dalam akaun emas seperti dalam GSPA dan Kijang Emas.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_06.htm

Sunday, December 20, 2009

Yapeim bantu atasi ‘ulat emas’

LENGGONG 19 Dis. – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) akan memperkembangkan perkhidmatan pembelian emas terpakai bagi membantu mengurangkan masalah ‘ulat emas’ yang semakin berleluasa.

Ketua Pengarah Yapeim, Dr. Abd. Malek Awang Kechil berkata, perkhidmatan itu yang sudah bermula di Kelantan dan Terengganu bakal diperkenalkan di negeri-negeri lain dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, Yapeim menawarkan harga pembelian sehingga 65 peratus dan dengan perkhidmatan tersebut, pelanggan dapat menjual pada harga tinggi serta tidak perlu bimbang mengenai masalah kehilangan emas mereka atau tidak dapat menebus balik.

Jelasnya, masalah ‘ulat emas’ bukan baru di negeri Pantai Timur malah golongan itu pandai menggunakan kesempatan dan taktik untuk menarik pelanggan yang benar-benar memerlukan duit untuk memajak atau menjual barangan kemas kepada mereka.

‘‘Masalahnya, keselamatan barang-

barang tersebut tidak terjamin dan pelanggan mungkin tidak dapat membeli atau menebus kembali harta milik mereka itu.

‘‘Jadi, Yapeim mahu membantu dan kita perkenalkan perkhidmatan ini kerana Yapeim bukan entiti berunsur perniagaan tetapi entiti sosial,” katanya pada sesi taklimat sistem Ar-Rahnu di sini hari ini.

Menurut Abd. Malek, bagi memastikan pelanggan yakin dengan perkhidmatan yang disediakan itu, pihaknya turut memperkenalkan harga emas Yapeim sebagai langkah memberikan perkhidmatan lebih kompetitif.

‘‘Harga emas yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) agak rendah. Jadi kita perkenalkan tangga harga sendiri. Selain itu kita juga mempunyai pakar yang dapat mengesan kualiti dan ketulenan emas.

‘‘Ini akan membantu pelanggan mendapat harga jualan yang lebih tinggi dan kualiti barangan kemas mereka terjamin,” katanya.

Pada masa sama jelas Abd. Malek, Yapeim juga akan memperkenalkan Program Keluarga Angkat Prihatin sebagai salah satu program kecemerlangan komunitinya.

Program itu katanya, bertujuan membantu anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga akibat musibah.

Jelasnya, bantuan maksimum RM4,000 setahun bagi seorang anak akan diberi untuk tujuan itu.

‘‘Membaca laporan-laporan media mengenai nasib anak-anak yang kehilangan ibu bapa dalam musibah seperti kemalangan, Yapeim rasa terpanggil untuk membantu.

‘‘Kita berharap selepas ini media akan membantu kita menyalurkan maklumat bagi membela nasib anak-

anak ini,” katanya.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

Saturday, November 14, 2009

Elok Melabur Dalam Bentuk Emas

MINGGU lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas.

Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.

Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika.

Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.

Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.

Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan dolar Amerika.

Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.

Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika.

Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran.

Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.

Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871).

Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi.

Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns.

Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas?

Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.

Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini bakal menaikkan lagi harga emas.

Kita ingat semasa zaman ramai pelarian meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.

Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas tetap emas.

Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam "bentuk emas" walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.

Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita.

Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Saturday, October 10, 2009

Emas Sebagai Alternatif Pelaburan

MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.

Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.

Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.

Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.

Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.

Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.

Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.

Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.

Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.

Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.

Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.

Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.

Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.

Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.

Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.

Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).

Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.

Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.

Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...