Saturday, January 29, 2011

OCBC Jangka Kenaikan Emas Terhad Tahun Ini

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kenaikan emas dijangka terhad tahun ini disebabkan oleh pengurangan pegangan emas sebagai komoditi selamat dan ekuiti yang menjadi kaedah pelaburan pilihan, kata OCBC Bank.

"Kami menjangka minat risiko bertahan dalam separuh pertama tahun ini, justeru itu, kedudukan emas dijangka turun perlahan-lahan," kata bank itu dalam nota penyelidikan komoditinya hari ini.

Ia berkata, harga emas tidak dijangka didorong oleh minat spekulatif kali ini dan pasaran kurang bulis bagi harga emas.

Sekiranya keyakinan ekonomi berbalik, ini boleh menyediakan pola harga tidak menentu bagi emas, kata bank itu.

Emas turun kepada AS$1,313.93 (RM4,007.49) satu aun semalam selepas paras tinggi AS$1,420.80 (RM4,333.44) pada 31 Disember tahun lepas, mewakili penurunan sebanyak 7.5 peratus.

OCBC berkata, buat masa sekarang sokongan segera bagi emas ialah pada AS$1,300 (RM3,965), diikuti AS$1,285 (RM3,919.25).

"Jika ini dikeluarkan, harga emas mungkin kembali semula kepada sekurang-kurangnya sekitar AS$1,250 (RM3,812.50)," kata bank itu. - BERNAMA

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_06.htm

Tuesday, January 18, 2011

Mata Wang Kertas Masih Perlu

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Negara Islam perlu terus menggunakan mata wang kertas dan bukan dinar emas memandangkan sejarah menunjukkan sistem duit syiling boleh meningkatkan kadar faedah, dan inflasi sukar dikawal.

Profesor Sejarah Ekonomi Perbandingan di Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam (INCEIF), Dr. Murat Cizakca berkata, wang sepatutnya berperanan sebagai medium tukaran, bukan komoditi.

"Kita perlu terus menggunakan mata wang kertas, dan bank-bank pusat yang mengawal mata wang kertas wajar mempunyai autonomi penuh," katanya.

Cizakca berkata demikian dalam syarahan umum bertajuk 'Dinar Emas Islam: Mitos dan Realiti' anjuran Persatuan Profesional Kewangan Islam Berkanun dan INCEIF di sini hari ini.

Beliau berkata, bekalan emas didominasi oleh negara bukan Islam.

"Dinar emas akan terdedah kepada spekulasi memandangkan harga emas juga turun dan naik.

"Oleh itu, negara Islam wajar terus menggunakan mata wang kertas dan meningkatkan perdagangan sesama mereka dan akhirnya bersetuju menggunakan mata wang kertas yang sama pada masa depan," katanya.

Sementara itu,Ketua Ekonomi dan Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin. yang mengulas pendapat Cizakca, berkata:

"Dalam sejarah, sudah terbukti penggunaan mata wang berasaskan komoditi tidak membantu mengekang inflasi."

Beliau berkata, apabila inflasi tidak dapat dikawal, gaji sebenar rakyat turut jatuh.

"Peranan mata wang ialah sebagai medium perantara pertukaran, dan apabila mata wang berasaskan komoditi, nilai mata wang akan banyak bergantung kepada komponen komoditi dan kita tidak dapat lari daripada 'naik turun', kata Azrul Azwar. - Bernama

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Saturday, January 15, 2011

Pertumbuhan Ekonomi Global: Harga Komoditi Dijangka Melonjak

KUALA LUMPUR 14 Jan - Permintaan yang kian meningkat di pasaran-pasaran baru muncul, dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah diikuti dengan bencana alam seperti di Brisbane, Australia, yang menjejaskan pengeluaran akan terus menolak naik harga-harga emas, minyak dan logam.

"Pertumbuhan ekonomi global, didahului oleh permintaan pasaran baru muncul dan meningkatnya asas- asas di dunia maju akan merangsangkan harga," kata Steven Yong, ketua pelaburan strategi dan penyelidikan dan produk pengurusan kekayaan Citibank.

Beliau berkata, harga emas boleh naik ke purata AS$1,503.60 (RM4,586) seaun tahun ini dan AS$1,438.20 (RM4,387) seaun tahun depan sementara harga-harga West Texas intermediate (WTI) boleh melepasi purata AS$100 (RM305) setong pada tahun 2011 dan 2012.

"Tetapi, adalah tidak mungkin yang harga minyak akan melonjak ke paras tinggi sejarahnya iaitu AS$147 (RM448) setong memandangkan ekonomi global belum lagi sekukuh seperti sebelumnya," kata beliau.

Keuntungan selanjutnya turut dijangka terhadap kebanyakan harga-harga logam asas dalam jangka pendek dan sederhana dengan keutamaan kepada aluminium dan tembaga, kata beliau dalam satu persidangan akhbar.

"Ini terutamanya disebabkan oleh permintaan pasaran baru muncul yang begitu menggalakkan, khususnya penggunaan yang kian meningkat di China dan India dan beberapa kekangan dalam bekalan," kata beliau.

Yong berkata, permintaan daripada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah juga boleh memacu harga-harga logam.

Sehubungan itu, para pelabur seharusnya meninjau negara-negara yang boleh mendapat manfaat daripada trend ini seperti Brazil dan Rusia dengan Brazil merupakan antara pengeluar berkos paling rendah dalam komoditi-komoditi pertanian seperti keluli, besi dan pulpa.

"Perbelanjaan infrastruktur dijangka meningkat di celah-celah pertandingan bola sepak Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2016. Oleh itu, pertumbuhan 4.5 peratus yang kukuh diunjurkan tahun ini dan tahun depan di Rusia," kata beliau.

Yong berkata, harga minyak ialah pemacu kukuh dalam pasaran ekuiti Rusia dengan sektor tenaga menguasai lebih 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), hampir 70 peratus daripada pasaran ekuiti Rusia.

Selain daripada itu, Rusia mempunyai penilaian yang paling murah di kalangan pasaran-pasaran baru muncul iaitu tujuh kali ke hadapan pendapatan setakat 7 Disember 2010.

Yong berkata, bencana yang dihadapi Australia pada masa ini yang telah menjejaskan pengeluaran arang batu, telah memberi manfaat negara-negara seperti Kanada. - BERNAMA

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Friday, January 7, 2011

Harga Emas Cecah RM4,650 Seaun

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Harga emas dunia bakal mencecah paras AS$1,500 (RM4,650) satu auns pada tahun ini, kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon.

Katanya, peningkatan itu dijangka berlaku memandangkan trend semasa dan permintaan berterusan di pasaran.

''Pada tahun lalu, harga emas bagi satu auns adalah sekitar AS$1,400 (RM4,340) dan ia terus meningkat.

''Walaupun pada awal tahun ini, harganya mengalami sedikit penurunan, tetapi kami yakin ia bakal mencecah AS$1,500 satu auns,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas di minta mengulas mengenai harga pasaran semasa emas pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Poh Kong di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Perhubungan Korporat, Pentadbiran & Sumber Manusia, Margaret Hon dan Akauntan, Hoh Sze Haw.

Tahun lalu, harga komoditi mengalami lonjakan positif apabila ditutup pada paras yang tinggi terutama bagi emas hingga ke minyak mentah.

Harga emas ditutup pada paras AS$1,421.40 (RM4406.34) satu auns pada hari terakhir 2010, naik kira-kira 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Para penganalisis menjangkakan trend peningkatan harga akan berterusan pada tahun ini kerana emas merupakan komoditi paling cemerlang dari aspek peningkatan harga pada tahun lalu.

Secara tradisinya ia dilihat sebagai pelaburan perlindungan nilai dan sering digunakan sebagai mekanisme lindung nilai terhadap deflasi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perniagaan, Choon berkata, pada tahun ini Poh Kong akan menambah tiga lagi cawangan dengan pelaburan sebanyak RM9 juta.

''Tiga cawangan tersebut terletak di Semenanjung Malaysia dengan yang pertama adalah di Nilai, Negeri Sembilan dijangka dibuka pada suku pertama tahun ini.

''Dua lagi cawangan masih belum dikenal pasti. Pelaburan bagi setiap cawangan adalah sebanyak RM3 juta,'' jelasnya.

Penambahan tiga cawangan itu akan menyaksikan Poh Kong memiliki 100 buah cawangan di seluruh negara.

Tambah beliau, setakat ini fokus perkembangan perniagaan adalah tertumpu di Semenanjung Malaysia.

''Dalam masa terdekat ini, kami masih belum merancang untuk menambah cawangan di Malaysia Timur dan di luar negara.

''Tetapi kami sentiasa meninjau sebarang peluang. Sekiranya ia bertepatan dengan kehendak perniagaan Poh Kong, kami akan pertimbangkan pada masa hadapan,'' katanya.

Poh kong menguasai 15 peratus pasaran barangan kemas emas dan tahun ini merupakan ulang tahun syarikat itu yang ke 35 tahun.

Pelbagai promosi dijalankan bagi menyambut ulang tahun itu sehingga 31 Ogos ini.

SUMBER - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...